Jumaat, 2 Ogos 2019 | 12:37pm
Watak Zorro (lakonan Douglas Fairbanks) mempertahankan Lolita Pulito (Marguerite de la Motte) daripada Captain Juan Ramon (Robert McKim) dalam adegan filem yang penggambarannya diadakan di San Juan Capsitrano. - Gambar ihsan Orange County Archives

Zorro kini sudah 100 tahun

PARIS: Watak pembela, Zorro mengenakan topeng dan pakaian serba hitam, membuat penampilan sulung dalam majalah keluaran Amerika Syarikat (AS), pada 100 tahun lalu, sekali gus menjadi ikon antarabangsa bersama Tarzan dan Superman.

Pejuang bertopeng, Zorro asalnya dicipta oleh pengarang AS, Johnston McCulley dan diperkenalkan dalam cerita The Curse of Capistrano yang disiarkan majalah pulp di California selama lima minggu bermula 9 Ogos 1919.

Berbekalkan kemahiran lawan pedang yang membela masyarakat tertindas, McCulley menyediakan pentas kepada seluruh watak adi wira sepanjang abad.

“Zorro ialah pejuang bertopeng yang asal. Sebelum Batman, Superman dan Wonder Woman, Zorro sudah terlebih dahulu wujud,” kata Profesor Sejarah Amerika, Stephen Andes, yang mengkaji sejarah dan mitos Zorro di laman webnya.

McCulley (1883-1958) menjadi pengarang prolifik yang menulis kira-kira 60 buku mengenai Zorro yang bermakna musang dalam bahasa Perancis tetapi enggan mendedahkan apa yang mengilhamkannya untuk mencipta watak itu.

Antara teori yang dikemukakan adalah beliau menyandarkan watak itu kepada perompak jalanan Mexico, Joaquin Murieta, yang membalas dendam terhadap salah guna kuasa di California ketika Gold Rush abad ke-19.

Teori lain menyatakan beliau mengambil watak Scarlet Pimpernel – dicipta oleh pengarang Hungary-British, Emma Orczy – yang menyelamatkan golongan aristokrat sebelum mereka ‘mengirimkannya’ ke gilotin untuk dihukum pancung ketika Revolusi Perancis.

“Zorro bertujuan meluahkan semangat bangsawan pada masa itu dan beliau berjaya memenuhi selera semua orang,” tulis US Oakland Tribune Magazine selepas editorialnya mewawancara pengarang berkenaan.

Watak itu menjadi alter-ego kepada bangsawan muda Sepanyol abad ke-19, Don Diego de la Vega, yang kembali ke California selepas belajar di Sepanyol tetapi mendapati kampung halamannya diperintah oleh pemerintah yang korup dan kejam.

Apabila dia bertindak mempertahankan orang yang tidak berdaya, dia mengenakan mantel, topi dan topeng hitam yang menutup bahagian atas mukanya. Dia juga terkenal dengan menggunakan pedang untuk meninggalkan tanda ‘Z’ pada orang jahat yang kalah.

Identiti rahsianya hanya diketahui oleh pembantu yang dipercayai, Bernardo yang bisu dan kuda hitam yang bijak, Tornado.

Di skrin, Zorro semakin terkenal.

Setahun selepas The Curse of Capistrano diterbitkan, ia diadaptasi ke pawagam sebagai filem bisu, The Mark of Zorro yang dibintangi Douglas Fairbanks, ketika itu bintang terkenal Hollywood.

Lebih 50 filem Zorro menyusul, sebahagiannya dibuat di Mexico termasuk versi jenaka dan erotik.

Dua filem menampilkan pelakon Sepanyol, Antonio Banderas dan Catherine Zeta-Jones yang menjadi tayangan pecah panggung Hollywood: The Mask of Zorro (1998) dan sekuel The Legend of Zorro (2005).

Siri televisyen Walt Disney yang berlangsung sebanyak 78 episod daripada 1957 hingga 1961, kekal popular dan masih ditayangkan di Perancis, misalnya.

Watak Zorro dilakonkan pelakon Amerika, Guy Williams, iaitu pemain pedang yang melakonkan semua adegan lawan pedang dengan menggunakan senjata sebenar.

Siri televisyen Zorro lain diterbitkan di Filipina hingga 2009 yang menampilkan hampir 100 episod, manakala telenovela popular bersiaran lebih 110 episod di Colombia.

Dalam filem, animasi, komik, buku dan permainan video, Zorro diiktiraf oleh pencipta watak Batman, Bob Kane, sebagai pengaruh utama kepada watak ciptaannya yang juga bertopeng dan mengenakan mantel dihasilkan 20 tahun kemudian.

Dalam buku, Zorro: The Novel terbitan 2005, novelis Chile, Isabel Allende membayangkan latar belakang watak Zorro dengan menggabungkan karektor Robin Hood, Peter Pan dan Che Guevara. - AFP

Berita Harian X