Isnin, 29 Julai 2019 | 12:27pm
Pengarang novel detektif yang juga Timbalan Ketua Polis, Omar Shahid Hamid. - Foto AFP

Novel politikus korup lonjak nama pegawai polis

KARACHI: Bapanya menjadi mangsa sasaran pembunuh upahan terkenal, manakala rakan sejawatannya pula dibunuh kumpulan Taliban.

Tragedi peribadi itu menguasai novel detektif realisme yang mengubah pegawai kanan polis, Omar Shahid Hamid kepada antara pengarang berbahasa Inggeris Pakistan paling popular.

Hampir dua dekad, Omar mengenakan lencana di kota pelabuhan besar di Laut Arab yang penuh dengan kekerasan politik dan keganasan ekstremis.

Kini menjawat Timbalan Ketua Polis, beliau pantas mencipta nama sebagai pengarang terkenal dengan menerbitkan empat buku dalam tempoh yang singkat sejak 2013.

Novelnya mencuri perhatian syarikat penstriman video utama yang memburu karya asli dari Asia Selatan termasuk Netflix yang sudahpun mencipta kejayaan dengan bahan hampir sama dalam drama bersiri televisyen seperti Sacred Games mengenai dunia jenayah yang korup.

Omar berkata, rahsia kejayaannya adalah kisah yang tidak ditapis mengenai penyelewengan politik, pembunuh upahan dan polis jahat dalam nuansa potret sosial Karachi yang terbelah.

“Semua karya itu ibarat saya menghayun tumbukan. Ia kasar, tidak berkompromi dengan realiti yang dinikmati pembaca,” katanya kepada AFP.

Ada masanya, beliau terpaksa menghadapi detik bahaya ketika sibuk berkarya dalam percutiannya hingga dinasihatkan supaya meninggalkan Karachi dan berehat daripada tugas polis pada 2011 apabila diugut oleh banyak kumpulan ekstremis.

Beberapa minggu selepas novel sulungnya, The Prisoner dipasarkan, mentor dan rakan sejawatannya, Chaudhry Aslam - yang menjadi inspirasi kepada watak utama karyanya - terbunuh dalam letupan bunuh diri yang didakwa dilakukan Taliban.

Dalam novel ketiganya, The Party Worker, Omar menggambarkan kebangkitan pembunuh upahan ganas yang membunuh atas perintah parti politik rekaan yang memerintah kota raya secara kuku besi.


Gambar fail yang diambil pada 11 Disember 1998 menunjukkan pegawai polis, Chaudry Aslam (kiri) mengiringi Saulat Mirza (tengah), iaitu suspek kepada pembunuhan enam warga Amerika Syarikat (AS) dan mangsa lain di Karachi. - Foto AFP

Bagi warga Karachi, watak itu mencerminkan kehidupan pembunuh upahan digeruni, Saulat Mirza, yang bertugas sebagai penguat kuasa ditakuti kepada parti yang pernah berkuasa, Muttahida Qaumi Movement (MQM). Malah antara mangsanya ialah bapa Omar sendiri, Shahid.

“Ia tidak sepenuhnya lakaran Saulat Mirza tetapi secara kasarnya mengenai orang muda yang menyerahkan 30 tahun daripada usianya atau memberikan seluruh kehidupannya kepada ideologi sebegini dengan menyangka melakukan perkara betul,” katanya.

Omar menegaskan tujuannya bukan untuk memberikan alasan terhadap tindakan itu.

“Memahami dorongan seseorang menjadi kaedah yang betul sekiranya anda bekerja sebagai penyiasat dalam bidang cegah keganasan untuk tempoh sangat lama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Karachi Geo News, Faheem Siddiqui, berkata karya Omar berbentuk fiksyen tetapi sangat dekat dengan realiti.

“Sebagai wartawan jenayah, saya mengetahui apa yang berlaku di bandar ini. Ia menuntut semangat luar biasa untuk menulis peristiwa terbabit,” katanya.

Plot novel Omar melampaui pengalaman peribadinya yang melalui kehilangan orang yang rapat kerana turut menceritakan detik menggemparkan Karachi dalam tempoh 30 tahun - daripada pembunuhan wartawan Amerika Syarikat (AS), Daniel Pearl pada 2002 kepada pembunuhan abang kepada bekas perdana menteri, Benazir Bhutto.

Pelabuhan yang dahulunya tenang di perairan Laut Arab, Karachi berubah dengan kebanjiran pelarian dari negara jirannya, India selepas pemisahan pada 1947.

Bertahun-tahun kemudian, kota pelabuhan itu menjadi laluan masuk senjata, dadah dan kebanjiran pelarian baharu dari negara dilanda perang, Afghanistan, sekali gus mengubah politik serta mencetuskan keganasan hingga meletakkan Karachi sebagai antara kota paling berbahaya di Asia.

Omar berkata, 30 tahun mutakhir ibarat menaiki roller-coaster. Sekiranya bukan disebabkan politik-etnik, ia pastinya keganasan persengketaan mazhab yang membawa kepada keganasan kelompok ekstremis.

“Saya mengalami banyak kekecewaan terhadap banyak peristiwa yang berlaku sepanjang karier saya hingga kini.

“Saya berasa perlu untuk meluahkannya,” katanya.

Tema yang diselongkar Omar mungkin mengejutkan mereka yang mencari senarai kecil untuk menjadikan polis

lebih hebat dan merendah-rendahkan musuhnya dengan kisah pembunuhan di luar bidang kehakiman dan penyelewengan pegawai polis.

Meskipun Omar sering menyasarkan golongan berbahaya dan berkuasa di Karachi, beliau hanya menerima sedikit kesannya.

Bagaimanapun, Omar berkata, novel terbarunya, The Fix yang dipasarkan pada bulan lalu, mungkin menyebabkan ramai tidak senang duduk apabila beliau membongkar penyelewengan dalam kriket.

“Bagi bangsa yang fanatik kriket dan penggemar teori konspirasi, agak aneh ruang itu sangat jarang diselongkar,” katanya.

Bagi semua penjelajahan dunia paling gelap di Karachi, Omar tetap menaruh harapan kepada tanah air tercintanya meskipun mengakui kota rayanya yang panas ibarat neraka dunia kepada orang luar.

“Ia mungkin tidak mudah diterima setiap orang. Namun sebagai kota raya, ia akan terus bergerak,” katanya.

171 dibaca
Berita Harian X