Khamis, 25 Julai 2019 | 12:21pm
Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh (kanan) menandatangani plak sempena Majlis Penjenamaan Semula Perpustakaan Sekolah Tinggi Bukit Mertajam, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Karya sastera didik generasi kurang beradab

BUKIT MERTAJAM: Sastera berperanan mengungkapkan kehidupan dan kekuatan budaya bangsa dengan menggunakan bahasa indah, sekali gus menimbulkan kesan penghayatan.

Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, berkata pelbagai perkara boleh dipelajari melalui karya sastera tidak kira dalam mahupun luar negara.

“Menjadi suatu kerugian sekiranya masyarakat tidak membaca serta mempelajari sastera kerana bangsa yang besar adalah mereka yang banyak membaca.

“Galakan perlu diberikan kepada generasi muda pada hari dengan mengunjungi perpustakaan dan membaca seberapa banyak buku yang boleh dalam mencambah ilmu,” katanya kepada BH selepas Majlis Penjenamaan Semula Perpustakaan Sekolah Tinggi Bukit Mertajam (STBM).


Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh. - Foto Mikail Ong

Muhammad berkata, pelajar perlu diwajibkan mempelajari sastera terutama disebabkan penggunaan bahasa tidak betul dan mencacatkan keindahan hingga muncul golongan kurang beradab.

“Dahulupun kita mempunyai slanga yang menggambarkan bahasa dan budaya masyarakat di sesuatu negeri tetapi slanga yang digunakan kini mula berubah mengikut gaya pertuturan yang tidak lagi mengikut budaya ketimuran, sebaliknya orang kasar dalam berbicara.

“Kita perlu kembali kepada ‘pohon besar’ yang masih ada untuk memperbaikinya, sekali gus menjadi bangsa gah dan dikenali dengan sifat dan budaya yang mengamalkan ciri ketimuran,” katanya.

Tegasnya, pelajar tidak hanya berlumba-lumba mendapatkan keputusan A dalam pelajaran sebaliknya mempunyai bakat A dengan menjaga tingkah laku dan memiliki pertuturan yang baik serta sopan.


Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh (kanan) menandatangani plak sempena Majlis Penjenamaan Semula Perpustakaan Sekolah Tinggi Bukit Mertajam, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Muhammad yang juga bekas pelajar STBM berbangga dan berbesar hati apabila perpustakaan sekolah itu dijenamakan semula dengan namanya serta mengimbau nostalgia belajar dahulu.

“Saya bersekolah di sini dari 1954 hingga 1957 yang menjadi tempat bermula minat terhadap bidang penulisan apabila diajar guru sastera yang mempunyai ilmu begitu tinggi.

“Pada masa itu saya kurang berkawan dan buku menjadi teman hingga bakat menulis bercambah, apatah lagi saya sangat menggemari kesusasteraan Melayu dan Inggeris,” katanya.

Muhammad berkata, pada permulaan menjadi penulis, beliau menulis cerita kanak-kanak yang ketika itu hanya mendapat bayaran sekitar RM5.

“Itu kenangan sukar dilupakan hingga sekarang dan walaupun bayaran itu dianggap kecil pada zaman ini, ia memberi makna besar pada kanak-kanak ketika zaman dahulu.

“Melalui kesungguhan ingin menyebarkan ilmu, kini saya mempunyai lebih 50 karya yang ditulis untuk tatapan generasi hari ini,” katanya.


Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh. - Foto Mikail Ong

Ditanya mengenai elaun penghargaan kepada SN diumumkan kerajaan baru-baru ini, Muhammad bersyukur akhirnya suara penulis dimakbulkan dan memberi semangat untuk terus berkarya serta berbakti kepada masyarakat.

“Jika di Jepun, Thailand dan Filipina, kerajaannya memberi ganjaran kepada seniman mereka, mengapa tidak Malaysia memberikan penghargaan kepada penulis yang sudah lama berkarya.

“Seni tertua yang mempunyai kehalusan ialah penceritaan (naratif) dan penulisan kerana mengandungi pelbagai ilmu seperti sejarah, salasilah, sains dan ilmu perubatan serta seni bina,” katanya.

Beliau berkata, pemberian elaun itu dapat mengatasi isu seperti pengarang terdahulu yang tidak dapat bersara daripada pekerjaan berikutan perlu mencari sumber kewangan untuk keluarga mereka.

“Jadi, apabila ada sumbangan seperti ini, ia memberikan kelegaan di samping dapat terus berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Berita Harian X