Khamis, 18 Julai 2019 | 2:11pm
Keranda Firaun Tutankhamun yang akan dipamerkan di Muzium Besar Mesir (GEM), Kaherah. - Foto Reuters

Keranda emas Firaun dipulihkan semula

KAHERAH: Pakar memulakan kerja memulihkan keranda dilapisi emas yang menyimpan Firaun Tutankhamun buat kali pertama sejak makamnya ditemui pada 1922.

Kementerian Antikuiti Mesir dalam kenyataannya berkata, keranda dan koleksi harta karun daripada makam Tutankhamun dijangka akan menjadi koleksi utama Muzium Besar Mesir (GEM) yang bakal dibuka tahun depan berhampiran Piramid Giza.

Ahli arkeologi British, Haward Carter menemukan makam raja dinasti ke-18 di Lembah Raja-raja di Luxor pada 1922.

Makam itu tidak terusik dan mengandungi kira-kira 5,000 artifak.

Kenyataan itu berkata, keranda itu dipindahkan dari selatan Mesir ke GEM pada tiga hari lalu bertujuan memuliharanya buat kali pertama sejak ditemui.

Sementara itu, Ketua Jabatan Rawatan Pemulihan GEM, Eissa Zidan, berkata keranda itu mengalami banyak kerosakan termasuk keretakan di bahagian lapisan plaster emas dan kepudaran di semua lapisan emasnya.

“Kerja pemulihan akan mengambil masa lapan bulan,” katanya.

Mesir sebelum ini mengumumkan GEM yang dibina selama 15 tahun dengan sebahagiannya menerima dana dari Jepun, akan dibuka secara rasmi hujung tahun depan. - Reuters

691 dibaca
Berita Harian X