Selasa, 16 Julai 2019 | 5:49pm
Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir di Program Rehal Buku, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kurang wacana, kritikan buku tanduskan sastera Malaysia

KUALA LUMPUR: Gerakan program wacana dan diskusi buku yang perlahan menyebabkan banyak karya menarik dan berkualiti dalam pasaran tidak dapat diketengahkan sehingga ada antaranya ‘lenyap’ begitu sahaja.

Gelombang hedonisme dan kewujudan hiburan berasaskan digital menjadi pilihan rakyat terutama generasi muda, sekali gus menyebabkan dunia buku semakin terasing daripada masyarakat.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir, berkata pada masa ini banyak karya menarik sama ada fiksyen atau bukan fiksyen wujud dalam pasaran buku, malangnya naskhah berkenaan tidak diketengahkan.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku kerana ruang diskusi buku pada masa ini dilihat semakin mengecil jika dibandingkan era 1970-an, sekali gus merencatkan usaha untuk mendekatkan masyarakat dengan buku.

“Pada masa ini, penganjuran program diskusi atau wacana buku sangat kurang dan jika ada pun ia seakan tidak dapat menampung jumlah karya menarik dan berkualiti yang ada.

“Sepatutnya semakin banyak buku berkualiti di pasaran, semakin banyak program diskusi dijalankan,” katanya kepada BH selepas Program Rehal Buku di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir di Program Rehal Buku, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

SM Zakir berkata, wacana buku penting kerana kita tidak mahu kewujudan karya hebat tidak disedari khalayak hingga menyebabkan sebahagiannya lenyap atau diperam begitu sahaja.

Mengulas lanjut, SM Zakir berkata, antara karya menarik yang boleh diketengahkan ialah Novel Aci Patmabi karya Azmi Iskandar Merican; Hikayat Tanah Jauh (Zainal Rashid Ahmad); Lara karya (Azmah Nordin); Novel Di Kala Bulan Bermain Biola (Wan Nor Azriq); Lukanya Merah (Rohani Deraman) dan Hari Hari Terakhir di Jesselton (Ruhaini Matdarin).

Beliau berkata, sekitar dekad 1970-an, gerakan memperkasa industri perbukuan termasuk penganjuran program wacana buku giat dilaksanakan walaupun penghasilan karya pada masa itu tidak serancak hari ini.

“Namun, hari ini banyak karya bermutu dihasilkan penulis tempatan, tetapi gagal diketengahkan kerana tidak ada usaha konsisten dijalankan untuk merakyatkan naskhah berkenaan.

“Keadaan itu mewujudkan suasana tidak seimbang dengan perkembangan buku.

“Tabiat membaca rakyat juga semakin rendah dan kewujudan hiburan berasas teknologi digital menyebabkan keseronokan membaca turut tenggelam,” katanya.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir di Program Rehal Buku, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

SM Zakir berkata, penganjuran program diskusi buku terutama dalam skala kecil mampu membantu menyuburkan minat membaca dan menyemarakkan dunia buku.

Dalam perkembangan sama, SM Zakir berkata, Program Rehal Buku yang diadakan buat kali pertama di Anjung Buku DBP akan dijadikan sebagai acara bulanan yang membenarkan peserta berkongsi naskhah yang dibaca untuk dibincangkan.

“Pemilihan buku yang mempunyai nilai manfaat, pengetahuan dan penggunaan bahasa yang bagus akan diutamakan.

“Kami juga bercadang untuk membawa penulis yang akan berbincang mengenai karya masing-masing, sekali gus mewujudkan perbincangan dua hala antara penulis dan khalayak, sekali gus memperlihatkan banyak titik temu.

“Jadi industri buku dapat dilihat sebagai sesuatu yang meriah dan bukan terasing dengan masyarakat dan apa yang penting kita mahu mencipta keseronokan dengan membaca buku,” katanya.

Berita Harian X