Khamis, 11 Julai 2019 | 3:02pm
Gambar tengkorak dinamakan sebagai Apidima 1 yang ditemui di gua di Greek yang diedarkan Ahli palaeoantropologi dari Eberhard Karls University of Tuebingen, Katerina Harvati, dikenal pasti berusia 210,000 tahun. - Foto AFP
Gambar tengkorak dinamakan sebagai Apidima 2 yang ditemui di gua di Greek yang diedarkan Ahli palaeoantropologi dari Eberhard Karls University of Tuebingen, Katerina Harvati, dikenal pasti berusia 210,000 tahun. - Foto AFP

Tengkorak orang Eropah 210,000 tahun, kejutkan saintis

PARIS: Tengkorak berusia 210,000 tahun yang dikenal pasti rangka manusia moden paling awal ditemui di luar Afrika, mengubah garis waktu ketibaan manusia di Eropah lebih awal 150,000 tahun.

Dalam penemuan mengejutkan yang mengubah kefahaman bagaimana manusia moden mendiami Eurasia, ia menyokong idea manusia Homo sapiens melakukan beberapa usaha migrasi dari Afrika sejak puluhan ribu tahun lalu.

Eropah tenggara sekian lama dianggap koridor perjalanan utama kepada manusia moden dari Afrika tetapi hingga sekarang, bukti terawal Homo sapiens berada di benua itu menunjukkan ia berlaku sekitar 50,000 tahun.

Bagaimanapun, ada beberapa penemuan yang menunjukkan kehadiran orang Neanderthals - berkait dengan manusia - di benua itu.

Dua rangka fosil dengan tengkorak rosak teruk digali di sebuah gua di Greek pada 1970-an, dikenal pasti sebagai Neanderthal pada masa itu.

Dalam penemuan yang diterbitkan dalam jurnal Nature, pasukan penyelidik antarabangsa menggunakan pemodelan komputer terkini dan pentarikhan uranium untuk memeriksa kembali dua tengkorak itu.

Salah satunya, dinamakan sebagai Apidima 2 sempena gua yang rangka itu ditemui, dibuktikan berusia 170,000 tahun dan disahkan sebagai Neanderthal.

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan saintis, usia tengkorak yang diberi nama Apidima 1 lebih tua daripada Apidima 2 sebanyak 40,000 tahun dan dikenal pasti sebagai Homo sapiens.

Ia menjadikan tengkorak itu setakat ini rangka manusia tertua yang pernah ditemui di benua itu dan lebih tua daripada spesimen Homo sapiens di luar Afrika.

Ahli palaeoantropologi dari Universiti Eberhard Karls Tuebingen, Jerman, Katerina Harvati, berkata ia menunjukkan penyebaran Homo sapiens di luar Afrika bukan hanya berlaku lebih awal sebelum 200,000 tahun lalu, bahkan mencapai kawasan yang lebih jauh secara geografi di Eropah.

“Hal ini tidak kami jangka sebelum ini dan mempengaruhi pergerakan populasi kumpulan purba itu,” katanya kepada AFP.

Apidima 1 mempunyai kekurangan ciri klasik yang dikaitkan dengan tengkorak Neanderthal skulls, termasuk bonjolan ketara di bahagian belakang kepala.

Hominins – subset dalam keluarga spesis yang merangkumi Homo sapiens dan Neanderthals – dipercayai muncul di Afrika lebih daripada 6 juta tahun lampau. Mereka meninggalkan benua itu dalam gelombang migrasi bermula kira-kira 2 juta tahun lalu.

Fosil Afrika tertua yang diletakkan sebagai ahli dalam keluarga Homo ialah tulang rahang dari Ethiopia berusia 2.8 juta.

Homo sapiens menggantikan Neanderthals di Eropah sepenuhnya sekitar 45,000 hingga 35,000 tahun lalu, sekali gus dianggap pengambilalihan beransur-ansur di benua itu.

Namun, penemuan tengkorak di Greece itu, mencadangkan Homo sapiens melakukan migrasi dari Afrika ke selatan Europe lebih daripada sekali, mengikut Profesor Antropologi Universiti New York City, Eric Delson.

“Berbanding penghijrahan keluar tunggal hominin dari Afrika untuk mendiami Eurasia, tentu ada beberapa penyebaran yang sebahagiannya tidak menyebabkan berlaku kependudukan kekal,” kata Delson yang tidak terbabit dalam kajian Nature.

Harvati berkata, kemajuan dalam teknologi pentarikhan dan genetik dapat meneruskan pembentukan kefahaman kita terhadap bagaimana mereka tersebar di seluruh dunia.

“Saya fikir kemajuan palaeoantropologi terkini menunjukkan bidang ini masih mempunyai kejutan,” katanya.

973 dibaca
Berita Harian X