Sabtu, 18 Mei 2019 | 12:40pm

Watak Sang Kancil, strategi Melayu cipta kuasa, kedaulatan

KUALA LUMPUR: Sastera kanak-kanak Melayu selalu mengangkat pelanduk sebagai wira berdasarkan saiz tubuhnya yang kecil tetapi memiliki otak cerdas hingga mampu melawan musuh yang jauh lebih besar.

Secara umumnya, kebanyakan cerita binatang yang terdapat dalam kesusasteraan Melayu bertemakan konflik sesama binatang atau konflik antara binatang dengan manusia.

Pelanduk atau yang lebih dikenali sebagai watak Sang Kancil selalu diangkat sebagai tokoh utama dalam cerita binatang yang berperanan penting dalam komuniti haiwan rimba.

Hal ini dapat dibuktikan dengan kewujudan pelbagai versi kisah Sang Kancil dalam sastera Melayu dengan antara yang popular ialah Hikayat Pelanduk Jenaka yang dihasilkan sekitar 1650.

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Salmah Jan Noor Muhammad, berkata kecerdikan watak pelanduk adalah sebahagian strategi bagi mencipta kuasa dan kedaulatan.

Hal itu ditegaskan Salmah Jan menerusi perkongsian kertas kerja yang dihasilkan bersama Nadiatul Shakinah Abdul Rahman bertajuk Strategi Mencipta Kekuasaan dan Kedaulatan oleh Pelanduk Jenaka dalam Hikayat Pelanduk Jenaka yang dibentangkan di Seminar Sastera Kanak-Kanak dan Remaja 2019 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.

Salmah Jan berkata, cerita binatang seperti Hikayat Pelanduk Jenaka sebenarnya mengemukakan beberapa strategi yang digunakan oleh Pelanduk Jenaka dalam mencipta kekuasaan dan kedaulatannya.

“Misalnya dalam mengukuhkan kedudukan Pelanduk Jenaka sebagai pemimpin dan raja di rimba, watak itu mengatur beberapa strategi supaya warga rimba dapat mengangkatnya sebagai pemimpin serta raja yang berdaulat di hutan rimba.

“Ia dilakukan dengan mengubah keterampilan diri, mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku serta menggunakan tipu helah yang menyebabkan warga rimba percaya dan yakin Pelanduk Jenaka memiliki daulat dan berkuasa,” katanya.

Hal ini tegas Salmah Jan, membuktikan kepintaran dan kebijaksanaan Pelanduk Jenaka yang berjaya mengubah persepsi warga rimba terhadapnya meskipun saiz tubuhnya yang kecil.

Secara tidak langsung, watak Pelanduk Jenaka itu berupaya memberikan nasihat, pengajaran dan teladan terutama bagi golongan kanak-kanak untuk diaplikasikan dalam kehidupan mereka dengan tujuan yang baik.

Salmah Jan berkata, bahan bacaan yang mengangkat watak binatang ini lebih dekat dengan kanak-kanak kerana mereka sejak kecil didedahkan dengan unsur alam terutamanya spesis flora dan fauna.

“Cerita binatang mengandungi unsur hiburan dan pengajaran yang dapat mendidik kanak-kanak. Pendedahan mengenai ilmu haiwan ini sedikit sebanyak dapat mendedahkan kepada kanak-kanak untuk mengenali kehidupan haiwan dengan lebih mendalam.

“Mungkin sukar untuk menyampaikan pengajaran itu secara terus terang, jadi ia diberikan secara halus melalui cerita-cerita binatang yang bercorak simbolik,” katanya.

Beliau berkata, ia bertujuan memberi petunjuk dan nasihat kepada kanak-kanak secara tidak langsung,” katanya.

873 dibaca
Berita Harian X