Khamis, 16 Mei 2019 | 1:34pm
Pengawal keselamatan berkawal di sebelah karya Jeff Koons, Rabbit di Christie, New York. - Foto AFP

Arca arnab termahal lebih RM300 juta

NEW YORK: Arca karya seniman Amerika, Jeff Koons terjual pada harga AS$91.1 juta (RM379 juta) pada lelongan anjuran Christie di sini, semalam - harga rekod baharu untuk hasil seni artis yang masih hidup.

Rabbit, karya daripada keluli tahan karat yang ditempa menjadi arnab kembung, menjadi sorotan utama di jualan musim bunga rumah lelongan itu, sekali gus memecah rekod yang sebelum ini dicipta pelukis British, David Hockney melalui karyanya, Portrait of an Artist (Pool with Two Figures) yang dijual pada harga AS$90.3 juta di Christie, November lalu.

Koons, 64, kembali mengungguli rekod itu yang sebelumnya menyaksikan Balloon Dog (Orange) memegang rekod harga paling tinggi di lelongan untuk seniman masih hidup selama lima tahun apabila terjual pada harga AS$58.4 juta (RM243 juta) pada 2013.

Harga jualan Rabbit hanya AS$80 juta (RM333 juta) tetapi sebaik sahaja komisyen dan yuran ditambah, jumlah keseluruhan meningkat hingga AS$91.075 juta (RM378.69 juta).

Dalam lelongan seni yang luar biasa untuk julat harga itu, pembeli Rabbit sebenarnya ada dalam dewan ketika jualan berlangsung.

Peristiwa batu penanda itu berlaku selepas dua tahun Christie di New York mencatat rekod untuk karya seni termahal yang pernah dijual melalui jualan karya Leonardo de Vinci, Salvator Mundi untuk AS$450 juta (RM1.87 bilion).

Dihasilkan oleh Koons pada 1986, Rabbit ialah antara karya terkenal seniman itu yang mencipta reputasi dengan mencabar dunia seni konvensional.


Seniman Amerika Syarikat (AS), Jeff Koons. - Foto NSTP

Beliau pernah mempamerkan karya seni gergasi di seluruh dunia termasuk pameran bersejarah Perancis pada 2008, Chateau of Versailles yang menyaksikan kumpulan kecil seniman tradisionalis negara itu memprotes di luar tempat acara dan mendesak karya Koon dihantar ke Disneyland.

Setinggi 1.04 meter, Rabbit dilelong daripada koleksi maharaja penerbit, SI Newhouse.

Sebelum kematiannya pada 2017, empayarnya termasuk Conde Nast yang menerbitkan majalah seperti Vogue, The New Yorker dan Vanity Fair.

Sementara itu, Pengerusi Seni Pascaperang dan Kontemporari di Christie, Alexander Rotter, berkata selepas melelong Rabbit yang menjadi karya terpenting Koons, beliau mahu pergi lebih jauh dan menyifatkannya arca terpenting untuk separuh kedua abad ke-20.

“Ia penamat pada skulptur. Ia boleh dipanggil sebagai anti-David.

“Anda tidak boleh pergi jauh daripada David dengan karya masih figuratif dan arca tradisi,” katanya yang merujuk karya agung Michelangelo.

Jualan itu ialah kejayaan terbaru artis kontroversial yang sejak kemunculannya pada dekad 1980-an, menjadi subjek perbualan tidak berkesudahan terhadap nilai komersial dan artistiknya. - AFP

423 dibaca
Berita Harian X