Rabu, 15 Mei 2019 | 1:00pm

Pengumuman Sasterawan Negara ditangguh cetus spekulasi

KUALA LUMPUR: Pengumuman Sasterawan Negara (SN) ke-14 masih tertangguh meskipun ia sepatutnya dibuat pada 26 April lalu.

Penangguhan itu membuka spekulasi apakah sebenarnya masalah dihadapi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat Anugerah Sastera Negara (ASN) dalam menobatkan SN terbaharu.

Sumber memberitahu BH, jika kekurangan calon dijadikan alasan, ia amat tidak munasabah kerana DBP menerima 19 pencalonan yang datang dari seluruh negara, meliputi penulis daripada pelbagai generasi dan genre.

“Setiap nama dicalonkan itu pula datang daripada persatuan penulis, organisasi, selain tokoh yang berkelayakan,” katanya.

Kualiti karya, sumbangan

Berdasarkan kebiasaan pemilihan SN sebelum ini, DBP akan mengemukakan satu nama calon terbaik berdasarkan kualiti karya juga sumbangannya kepada pertumbuhan sastera kebangsaan kepada Menteri Pendidikan selaku ketua panel penilai sebelum dibawa menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Tidak menolak spekulasi ia berkemungkinan disebabkan DBP memerlukan masa yang lebih lama bagi meneliti calon terbaik, sumber itu berkata, tidak mustahil hal itu berlaku jika semua nama dicalonkan tidak layak untuk dinobatkan sebagai SN.

Bagaimanapun tindakan penangguhan itu ternyata membuat khalayak tertanya-tanya adakah kemungkinan sudah ada satu nama pemenang yang diusulkan, tetapi tersekat disebabkan faktor yang tidak diketahui.


Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran. - Foto Sairien Nafis

Ini disebabkan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shoekran dalam temu bualnya dengan BH pada Mac lalu menyebut, penganugerahan ASN itu sudah diputuskan keputusannya dan akan diumumkan pada Julai.

Bagaimanapun, media kemudian menerima undangan pengumuman itu pada 26 April lalu yang dijadualkan berlangsung di Putrajaya sebelum ia ditangguhkan tanpa dinyatakan sebarang sebab.

Anugerah tertinggi


Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Zurinah Hassan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kali terakhir penganugerahan SN dibuat adalah pada 13 Oktober 2015, yang menyaksikan penulis kelahiran Kedah, Datuk Dr Zurinah Hassan diumumkan sebagai penerima ke-13.

ASN yang membawa gelaran SN itu ialah anugerah tertinggi kepada penggiat kesusasteraan kebangsaan yang dimulakan pada 1979 dengan dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Musa Hitam.

Idea mengenainya dicetuskan pada 1977 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn yang menyebut mengenai hasrat kerajaan meningkatkan taraf dan penghargaan kepada sasterawan tanah air.

Penganugerahan dibuat pada 1981 yang menyaksikan wartawan dan penulis, Kamaluddin Muhamad atau Keris Mas dinobatkan sebagai SN pertama. Sehingga kini seramai 13 orang pengarang sudah diiktiraf sebagai SN.


Penulis, Datuk Jasni Matlani. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sementara itu, bagi pencalonan SN ke-14, daripada 19 nama yang dicalonkan antara yang dilihat berpotensi untuk dinobatkan, termasuk Dr Lim Swee Tin; Mohamed Ghozali Abdul Rashid atau Malim Ghozali PK; Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Jasni Matlani.

Penulis muda tersenarai anugerah


Pemenang Anugerah Penulisan SEA dan penyair, Zaen Kasturi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Bagaimanapun, terdapat juga laporan mengaitkan penulis muda, Dr Mohd Faisal Musa atau Faisal Tehrani juga berada dalam senarai pencalonan bersama-sama beberapa penulis lain, antaranya; Jong Chian Lai, Azmah Nordin, Zainal Palit atau Zaen Kasturi dan Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir).

Pengarang yang dinamakan sebagai SN akan menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000.00, penerbitan sebanyak 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli kerajaan dan disebarkan dengan meluasnya ke sekolah, perpustakaan, jabatan, dan agensi kerajaan.

Penerima juga akan mendapat kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta karya sastera, kemudahan untuk menerbitkan karya dan penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing.

334 dibaca
Berita Harian X