Jumaat, 10 Mei 2019 | 3:14pm
Pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan Gabriel Garcia Marquez terus meninggalkan pengaruhnya walaupun sudah meninggal dunia. Gambar hiasa. - Foto AFP

'Ingatiku sebagai wartawan, bukan sasterawan'

NADI Gabriel Garcia Marquez atau lebih dikenali sebagai Gabo dalam kalangan rakannya, berdenyut dalam dunia kewartawanan. Beliau menulis dalam akhbar dan majalah sepanjang usia serta mengasaskan lima penerbitan sendiri.

Beliau pernah berkata kebijaksanaan datang daripada pengalaman: “Saya tidak mahu dikenang kerana (novel) One Hundred Years of Solitude, tidak juga kerana Hadiah Nobel, sebaliknya kerana akhbar.”

Garcia Marquez (1927-2014) menyedut dakwat segar dengan cara AJ Liebling lakukan seperti menyedut asap cerut. Beliau menyifatkan ‘wartawan sebagai pekerjaan terbaik di dunia’ dan ‘keperluan biologi kemanusiaan.’ Beliau memahami akhbar dan majalah tidak hanya menerbitkan data tetapi menambah - dengan pelbagai bentuk komentar - kemeriahan dalam masyarakat.

Pamer kesungguhan


Buku The Scandal of the Century tulisan Gabriel Garcia Marquez. - Foto NSTP

Kumpulan baharu gema kewartawanan Garcia Marquez, The Scandal of the Century, mempamerkan betapa bersungguh beliau terhadap laporan yang kini juga dikenali sebagai artikel panjang dan kompleks (long-form).

Terdapat kerumitan membabitkan cerita mengenai kematian wanita muda yang menjalani kehidupan ganda; kepungan politik terhadap Palacio Nacional, Nicaragua oleh Sandinista; dan usaha antarabangsa untuk menyelamatkan budak lelaki yang memerlukan serum rabies yang sukar ditemukan tetapi perlu dihantar dalam tempoh 12 jam.

Artikel sebegitu - dalam nada penuh keyakinan dan belas kasihan - mengingatkan pembaca kepada The Story of a Shipwrecked Sailor, iaitu novel Garcia Marques yang kali pertama diterbitkan dalam bahasa Inggeris pada 1986.

Novel itu berdasarkan artikel bersiri yang ditulisnya untuk akhbar Bogota pada 1955 dengan menggunakan sudut pandang kelasi Colombia yang dihanyutkan ke laut daripada dek kapal pemusnah.

Dunia kewartawanannya seperti kebanyakan fiksyennya, berpusat di negara kelahirannya, Colombia. Sangat banyak artikel terbaik dalam The Scandal of the Century berbentuk esei, tidak terlalu menunjuk-nunjuk dan berjenaka pintar seperti tukang gunting, pengembara udara, terjemahan sastera dan filem.

The Scandal of the Century mengandungi 50 artikel yang diterbitkan antara 1950 hingga 1984. Ia satu daripada dua buku baharu yang menyorot karya dan kehidupan Garcia Marquez.

Sejarah kisah hidup

Buku lain ialah Solitude & Company, karya menarik tetapi sedikit janggal membaca sejarah kisah hidupnya secara lisan yang disunting wartawan Colombia, Silvana Paternostro dan diterjemah oleh Edith Grossman.

Solitude & Company bukanlah bermaksud untuk menggantikan biografi rasmi oleh Gerald Martin yang diterbitkan pada 2009. Buku itu mengumpulkan rakan lamanya bersama-sama seperti dalam pertemuan meja bulat dan membiarkan mereka untuk bercakap.

Garcia Marquez menulis karya fiksyen awalnya di atas kertas akhbar yang diperoleh daripada kerja hariannya. Mungkin sedikit sebanyak ia menjadikan karya fiksyen dan bukan fiksyennya bergaul sebati.

Artikel dan kolumnya dalam The Scandal of the Century memperlihatkan sikapnya yang berterus-terang dan suara ironik yang sudah lama dimilikinya.

Beliau menulis dalam bidang kewartawanan dengan nurani, keseronokan dan selalunya inspirasi sama dengan karya agungnya. Rentak pecutan dan jarak jauh dalam bergerak seirama dengan aneh dalam proses kreatifnya.

Garcia Marquez turut menghuraikan kehidupan pengarang dan kesulitan ekonomi mereka dengan cara jenaka. Contohnya rokok, beliau menulis: “Pengarang terbaik adalah orang yang menulis sedikit tetapi banyak merokok. Sudah menjadi kebiasaan, mereka memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun dan 29,000 rokok untuk menulis buku setebal 200 halaman.

“Secara matematiknya, wang yang mereka gunakan untuk rokok lebih banyak daripada apa yang mereka dapat daripada sesebuah judul.”

Pengaruh masih terasa

Pengaruh kewartawanan Garcia Marquez masih terasa. Pada 1994, beliau mengasaskan Yayasan Gabriel Garcia Marquez untuk Kewartawanan Baharu Ibero-Amerika yang lebih terkenal dengan nama Yayasan Gabo di Cartagena dan masih aktif.

Dalam kata pendahuluan The Scandal of the Century, wartawan penyiasat dan koresponden asing, Jon Lee Anderson, berkata paradoknya ialah pengarang menjadi lambang paling sinonim kepada generasi Boom Amerika Latin dalam fiksyen, sepatutnya turut dianggap sebagai penaung kepada generasi Boom baharu dalam kewartawanan Amerika Latin.

Garcia Marquez menulis begini: “Secara asasnya, saya ialah wartawan. Sepanjang hidup, saya menjadi wartawan. Karya saya ialah buku nota wartawan meskipun ia tidak begitu ketara.”

Beliau mempunyai cara tersendiri untuk menghubungkan semua semangat penulisannya sama ada fiksyen mahupun bukan fiksyen kepada alam sejagat yang melankolik. - NYT

145 dibaca
Berita Harian X