Khamis, 9 Mei 2019 | 8:37pm
Hadiah Cerpen Komanwel. - Foto ihsan Wikipedia

Penulis Malaysia menang Hadiah Cerpen Komanwel 2019

KUALA LUMPUR: Penulis Malaysia, Saras Manickam, dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Cerpen Komanwel 2019 bagi rantau Asia menerusi karyanya berjudul My Mother Pattu.

Pemenang peringkat rantau lain ialah Mbozi Haimbe bagi Afrika; Alexia Tolas (Caribbean); Harley Hern (Pasifik) dan Constantia Soteriou (Kanada serta Eropah).


Penulis Malaysia, Saras Manickam, dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Cerpen Komanwel 2019 bagi rantau Asia menerusi karyanya berjudul My Mother Pattu. - Foto ihsan Commonwealth Writers

Sarah berkata, beliau terharu dengan anugerah itu dan gementar kerana banyak pihak meletak harapan tinggi terhadap karyanya itu.

“Saya gembira dan berbesar hati dengan kemenangan ini tetapi ada perasaan bimbang kerana pembaca dan rakan termasuk rakan sejawatan meletakkan harapan tinggi terhadap karya ini.

“Malah, saya turut terharu kerana cerpen mengandungi pelbagai watak dari masa yang sudah jauh berlalu di negara ini, masih relevan dan dirasakan dekat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

My Mother Pattu ialah cerpen yang menyingkap perasaan iri hati dan dengki seorang ibu terhadap anak perempuannya tetapi kemudian menyedari tiada sesiapa boleh menyelamatkannya daripada penderaan itu selain diri sendiri.

Sementara itu, Ketua Lembaga Juri Antarabangsa, Caryl Phillips, berkata pihaknya memilih lima cerpen sebagai pemenang yang semuanya karya penulis wanita selepas disenarai pendek daripada 21 cerpen membabitkan 5,081 penyertaan dari 50 negara Komanwel.

“Pemenang peringkat rantau bagi Hadiah Cerpen Komanwel 2019 merungkai pelbagai tema termasuk kisah peperangan, percintaan, penderaan dan pengabaian.

“Semua cerpen ini mempunyai ciri sepunya, iaitu kecemerlangan naratif dan keamatan dramatik. Suara sekelompok watak global membolehkan kita menyingkap serta mengenali, emosi sejagat berhubung keperitan dan kehilangan,” katanya.

Dalam perkembagan sama, Ketua Pengarah Yayasan Komanwel, Vijay Krishnarayan, berkata kemenangan itu mencerminkan kekayaan penulisan baharu.

“Lebih istimewa, semuanya penulis wanita dalam keadaan landskap kesusasteraan masih dikuasai lelaki.

“Hadiah Cerpen Komanwel mengetengahkan pengalaman yang kurang kedengaran berkisarkan spektrum emosi manusia yang menyentuh kita semua. Ini bukan sahaja hadiah paling global, bahkan relevan,” katanya.

Hadiah Cerpen Komanwel dianugerahkan setiap tahun kepada karya terbaik yang belum pernah diterbitkan dari kelompok negara Komanwel.

Ia satu-satunya pertandingan di dunia yang membuka penyertaan kepada karya dalam bahasa Melayu, Bengali, China, Inggeris, Yunani, Portugis, Samoa, Swahili, Tamil dan Turki.

Karya cerpen yang memenangi anugerah peringkat rantau akan diterbitkan dalam talian di majalah kesusasteraan, Granta.

92 dibaca
Berita Harian X