Khamis, 9 Mei 2019 | 12:22pm
Tradisi membakar lemang atau lebih dikenali sebagai ‘melemang’ menjadi kemestian setiap kali menjelang Ramadan atau mantai dalam budaya di Negeri Sembilan. Gambar hiasan. - Foto Amran Yahya

Melemang pelengkap mantai di Negeri Sembilan

KUALA PILAH: Lemang biasanya disediakan menjelang perayaan khususnya Aidilfitri, tetapi di Negeri Sembilan, tradisi membakar lemang atau lebih dikenali sebagai ‘melemang’ menjadi kemestian setiap kali menjelang Ramadan atau mantai.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, berkata mantai bermaksud sehari sebelum menyambut puasa, Aidilfitri dan Aidiladha.

“Ia aktiviti yang sangat penting di negeri ini, malah seperti tidak lengkap jika tidak melemang.

“Lemang juga lambang penyeri ketika menyambut perayaan hingga anak, cucu-cicit dan saudara-mara yang jauh sanggup balik semata-mata hendak melemang.

“Ini menunjukkan adat pepatih yang diamalkan di Negeri Sembilan mementingkan musyawarah, muafakat dan perpaduan hingga mereka sanggup mengambil cuti tahunan semata-mata untuk pulang melemang,” katanya kepada BH di sini.


Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin. - Foto Amran Yahya

Secara sejarah, Mohd Rosli berkata, melemang di Negeri Sembilan dimulakan suku Asli Temuan dan juga zaman Penghulu Naam, iaitu Penghulu Luak Ulu Muar pertama pada sekitar tahun 1700.

“Lemang ialah perkataan yang digunakan tiga kaum, iaitu Melayu, Minangkabau dan Batak yang membawa maksud sama, iaitu beras pulut dimasak atau dipanggang dalam buluh serta dibalut di bahagian dalamnya menggunakan daun pisang.

“Dahulu, aktiviti bersawah ialah kegiatan sangat penting dan apabila padi dituai, aktiviti melemang sudah pasti dilakukan untuk merasai padi baharu.

Rapatkan hubungan

“Aktiviti ini sangat penting untuk merapatkan hubungan rakyat dengan pemimpin, sekali gus hubungan sesama rakyat.

“Sehingga sekarang aktiviti melemang menjadi satu tradisi ketika mantai dan lemang pula menjadi makanan tradisi utama,” katanya.

Tambah Mohd Rosli, lemang di Negeri Sembilan mempunyai simbol dan falsafah tersendiri hingga tradisi itu mampu dikekalkan.

“Antara falsafahnya ialah lambang permuafakatan kerana dalam lemang, terkandung beras pulut dan santan yang melambangkan begitu pentingnya kehidupan suci serta bersih.

“Daun pisang yang membaluti beras pulut pula melambangkan unsur syarak yang perlu diikuti, iaitu adat bersendi syarak dan syarak bersendikan kitabullah,” katanya.

Jelas Mohd Rosli, zaman dahulu masyarakat yang kuat mengamalkan adat sangat aktif melemang hingga menjadi kewajipan penting.

Lambang indah

“Lemang sudah menjadi lambang yang indah bahawa perayaan yang bakal disambut meriah.

“Jika ada lemang sudah tentu akan ada rendang daging atau rendang ayam sebagai penyedapnya,” kata beliau.

Sementara itu, Rozlan Mohd Yusof, 64, berkata, tidak lengkap rasanya jika tidak melemang setiap kali menjelang Ramadan.

“Setiap kali melemang, anak, menantu dan cucu akan pulang untuk bergotong-royong dari mula membuat persiapan sehingga membakar.

“Suasana sebegini amat dirindui dan kami dapat berbincang serta mengeluarkan pendapat masing-masing.

“Ketika mereka pulang nanti, saya akan membekalkan dengan lemang sebagai juadah bersahur atau berbuka puasa,” katanya.

377 dibaca
Berita Harian X