Isnin, 6 Mei 2019 | 1:30pm
AHLI Jawatankuasa Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa PENYAIR terima watikah pelantikan

KUALA LUMPUR: Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) dengan barisan ahli jawatankuasa yang baharu menerima watikah pelantikan daripada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran ketika perjumpaan dengan beliau di pejabatnya, baru-baru ini.

Perjumpaan itu turut membincangkan beberapa program PENYAIR bagi tahun 2019 dengan restu DBP sebagai sokongan dalam menyemarakkan dunia kesusasteraan tanah air.

Antara program utama yang bakal diadakan dengan kerjasama beberapa pihak dan DBP sendiri ialah mengunjungi Kampung Karyawan Malim (KKM) di Lembah Gua Tempurung dengan acara Puisi Ramadan dan Tazkirah Al-Quran dan Sains yang diterajui oleh Pak Malim Ghazali Pk sendiri selaku Penasihat PENYAIR.

Program Persembahan Puisi Wayang Kulit bertemakan Kepahlawalan akan diketuai oleh Datuk Emeritus Hashim Yaacob yang dijangka berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Julai 2019 dengan menampilkan sesuatu di luar kebiasaan dalam meniupkan semangat pahlawan melalui puisi nusantara.

Program mengenang T. Alias Taib turut mengisi program tahun 2019 dengan kerjasama PELITA di Kuala Terengganu.

PENYAIR akan berkongsi kisah kepenyairan T.Alias Taib, penyair tersohor Negara.

PENYAIR juga merangka beberapa program bertaraf antarabangsa dengan meneruskan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pulau Pangkor (PULARA) Ke-10 dan masih dalam peringkat memuktamadkan pengisian program termasuk tema, tempat dan pemilihan penyair yang akan berlangsung pada awal Disember.

Konvensyen Penyair Dunia (KONPEN 2) pula akan diadakan di Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah Pahang pada bulan Oktober 2019.

PENYAIR juga menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian dalam Kongres Puisi Sedunia (WCP) di Odissa, India September 2019.

Selain itu, wacana puisi dan sastera turut diadakan secara berkala berkolaborasi dengan DBP mensasarkan aktiviti membabitkan sekolah dan institusi pengajian tinggi bermula Julai hingga Disember 2019.

288 dibaca
Berita Harian X