Jumaat, 3 Mei 2019 | 12:39pm
Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH memberi peluang kepada pembaca untuk mengundi dan mengangkat naskhah serta penulis pilihan mereka. Gambar hiasan. - Foto Amirudin Sahib

Undi novel, buku Islami dan motivasi popular

KUALA LUMPUR: Berbaki tiga hari sahaja untuk pembaca dan peminat karya cereka dan bukan cereka tanah air mengundi 20 naskhah yang dicalonkan dalam Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH Ke-12.

Bagi yang belum sempat mengundi, peluang ini tidak harus dilepaskan kerana anugerah ini memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada pembaca untuk mengangkat dan menobatkan naskhah dan penulis pilihan mereka.

Kempen dengan kerjasama POPULAR dan akhbar BH ini sudah pun bermula sejak 29 Mac lalu dan undian masih lagi dibuka sehingga Ahad ini.

Cara mengundinya cukup mudah, cuma dapatkan borang yang diterbitkan di halaman Sastera BH hari ini, selain undian juga boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari laman web BookFest@Malaysia 2019 menerusi pautan http://bookfest.popular.com.my/anugerahpilihanpembaca.

Pengundi cuma perlu memilih tiga karya pilihan bagi kedua-dua kategori dan 100 pembaca bertuah berpeluang memenangi hadiah istimewa daripada POPULAR, iaitu baucar bernilai RM50 dan kad keahliannya selama setahun.

Antara karya tersenarai dalam kategori cereka ialah ialah naskhah tulisan novelis mapan, Fauziah Ashari, iaitu Dia Perempuanku; Panahan Cinta Mr Agrophobia (Suri Ryana) dan dua tulisan Hadi, Infiniti War - Kitab Kegelapan Dari Makam Purba serta Mengintai Aku di Neraka.

Turut disenaraikan ialah Bahagia Bukan Bidaan karya Hessa Widad; Cik Isteri & Cik Suami (Airisz); Dheo’s (Anjell); Kau? CEO Aku? (Maya Rahman) dan Wish List (Syamnuriezmil).

Kategori bukan cereka dikuasai karya bernuansa Islam dan motivasi antaranya 19 Hari Untuk Rasa Bahagia tulisan Faiz Ibrahim; The Bingkisan Hati menerusi dua buah karya, Cukuplah Allah Bagiku dan Allah Kan Ada.

Turut disenaraikan ialah Lukisan Tarbiah 3: Air Mata Terakhir oleh Abeben; 11 Amalan Memiliki Kejayaan (Ebit Lew); Mau’izhah Hassanah: Talian Hayat Di Barzakh (Ahmad Dasuki Abd Rani); Cerita Bilik Guru (Fadli Saleh, Reyna Ibrahim, Shahidan Shuib dan Firdauz Abdullah); Nasihat Pak Bidan Untuk Wanita (Hamid Arshat) dan Misi Bebas Hutang (Mohd Zulkiflie Shafie).

Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH diadakan bersempena BookFest@Malaysia 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 1 hingga 9 Jun 2019.

60 dibaca
Berita Harian X