Khamis, 2 Mei 2019 | 2:33pm
Konflik di Syria turut diterjemah ke dalam seni seperti karya instalasi suara berdasarkan wawancara dengan bekas tahanan di penjara misteri, Saydnaya yang mengorbankan ribuan orang. Gambar hiasan. - Foto AFP

Suara penjara misteri Syria, final hadiah seni UK

LONDON: Instalasi suara berdasarkan wawancara dengan bekas tahanan di penjara kawalan ketat di Syria menguasai senarai pendek Hadiah Turner untuk Seni Kontemporari Britain.

Lawrence Abu Hamdan menggunakan kesan bunyi untuk membantu enam bekas tahanan yang terselamat di Saydnaya ‘untuk mengimbau memori bunyi bagi membuat pemetaan seni bina penjara yang tidak diketahui dan memahami apa yang berlaku di sana.

Amnesty International mendedahkan seramai 13,000 tahanan digantung antara 2011 hingga 2015 di penjara yang dikendalikan tentera yang berdekatan dengan Damascus.

Pada Mei 2017, Washington mendakwa Damascus membina ‘tempat membakar mayat’ di Saydnaya untuk menutup kematian ribuan tahanannya.

Senarai pendek itu turut menampilkan karya seniman berpangkalan di London, Helen Cammock, yang dicalonkan untuk filem mengenai peranan wanita dalam gerakan hak sivil di Londonderry pada 1968, iaitu pada permulaan tiga dekad kekacauan di Ireland Utara.

Seniman kelahiran Colombia, Oscar Murillo dan artis, Tai Shani turut dicalonkan untuk hadiah berprestij yang akan diumumkan 3 Disember ini.

Pameran yang menampilkan keempat-empat karya yang dicalonkan akan dibuka bermula September ini di di Galeri Kontemporary Turner yang terletak di bandar tepi laut, Margate.

Hadiah itu terbuka kepada seniman yang dilahirkan atau berpangkalan di Britain. - AFP

129 dibaca
Berita Harian X