Isnin, 29 April 2019 | 12:07pm
Penaung Kelab Pemuisi Nasional (PEMUISI), Tan Sri Dr Hamad Kama Piah Che Othman. - Foto Owee Ah Chun

Persatuan penulis perlu petunjuk prestasi utama

NILAI: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan sastera disaran mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai tanda aras keberhasilan dan keberkesanannya.

Bekas tokoh korporat, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata pesatuan perlu menghasilkan rangka kerja komprehensif yang menjelaskan tujuan dan perencanaan aktiviti.

Hamad Kama Piah berkata, dengan adanya KPI, kegiatan persatuan dapat ditentukan supaya menjadi produktif dan keberhasilannya boleh diukur dengan jelas.

“Persatuan baharu terutamanya perlu menjadi persatuan yang dapat dicontohi dalam pengurusan cekap walaupun kita organisasi sukarela,” katanya ketika berucap merasmikan Kelab Pemuisi Nasional (PEMUISI) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Hamad Kama Piah berkata, dari sudut aktiviti, kelab mungkin dapat merencanakan kegiatan berimpak tinggi secara terancang sama ada berskala besar atau kecil.

Beliau yang juga penaung Pemuisi turut menyarankan kelab itu menganjurkan pertandingan menulis puisi bahasa Melayu peringkat kebangsaan, Nusantara dan global.

“Ia bertujuan meningkatkan jumlah khalayak puisi terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Pada majlis sama, Hamad Kama Piah turut melancarkan dua antologi puisi karya ahli PEMUISI, iaitu Antologi Puisi Bunga Cinta dan Perempuan 3 Wajah.

PEMUISI diterajui Datuk Dr Radzuan Ibrahim sebagai Presiden; Dr Lim Swee Tin (Timbalan Presiden) dan Ismail Ahmad (Setiausaha Agung).

Turut mendukung kelab sebagai penasihat ialah Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh dan SN, Datuk Dr Zurinah Hassan. - BERNAMA

Berita Harian X