Ahad, 28 April 2019 | 2:14pm
Tapak kaki kuno ditemukan di Osorno, Chile berusia sekurang-kurangnya 15,600 tahun. - Foto REUTERS

Tapak kaki manusia tertua ditemukan di Chile

SANTIAGO: Saintis di Chile mendedahkan mereka menemukan tapak kaki berusia sekurang-kurangnya 15,600 tahun lalu, sekali gus menjadikannya tanda kehadiran manusia terawal di Amerika.

Tapak kaki itu ditemukan di tapak cari gali Pilauco di kota Osorno (820 kilometer di utara Santiago) yang saintis mula mencari gali di kawasan terbabit sejak 2007.

Ahli arkeologi dari Universiti Austral, Chile berkata, tapak kaki itu pertama kali dikesan pada 2011 di kawasan berhampiran sebuah rumah.

Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk ahli paleontologi, Karen Moreno dan ahli geologi, Mario Pino untuk membuat pengesahan yang boleh dipercayai bahawa tapak kaki itu berasal daripada manusia.

“Memang ada tapak kaki manusia lain yang ditemukan di Amerika tetapi tiada satu pun selama ini,” kata Pino kepada akhbar Osorno, El Austral.

Beliau berkata, saintis mampu membuat pengesahan itu dengan menggunakan teknik pentarikhan radiokarbon kepada bahan tumbuhan organik di kawasan tapak kaki itu dijumpai.

Pino berkata, tapak kaki itu kelihatan milik lelaki berkaki ayam seberat kira-kira 70 kilogram dan berasal daripada spesis Hominipes Modernus yang mempunyai pertalian dengan Homo Sapiens.

Kawasan di Chile terbukti kaya dengan fosil terutama bukti haiwan yang dikatakan asal kepada gajah dan kuda Amerika pada hari ini, selain lebih banyak bukti kehadiran manusia.

Tapak kaki yang awal ditemukan adalah di tapak di utara Osorno yang dikatakan berusia 1,000 tahun lebih terkini.

Penemuan baharu itu diterbitkan dalam edisi terkini jurnal saintifik kajian semula setara, PLOS One. - AFP

482 dibaca
Berita Harian X