Rabu, 17 April 2019 | 8:11pm
Notre-Dame yang menjadi inspirasi dalam penghasilkan karya seni daripada opera, balet serta novel hingga filem dan permainan video, terbakar Isnin lalu. - Foto AFP

Notre-Dame ilhamkan novel Si Bongkok hingga Assassin's Creed

PARIS: Notre-Dame tidak hanya keajaiban seni bina dan simbol Paris serta Perancis, malah ia menginspirasikan semua seni daripada opera, balet serta novel hingga filem dan permainan video.

Dengan pihak berkuasa Perancis mula merancang pembinaan semula karya agung seni Gothik daripada puing-puing kebakaran Isnin lalu, berikut ulasan sebahagian karya seni yang mendapat inspirasi daripadanya.

Notre-Dame mungkin mengirimkan semangat seniman kembara Troubadour zaman pertengahan tetapi ia terhutang dengan kemasyhuran sastera novel Gothik Victor Hugo yang diterbitkan pada 1831, Notre-Dame de Paris - lebih dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai The Hunchback of Notre Dame.

Penyair Katolik yang bersemangat, Paul Claudel - saudara lelaki kepada pengarca yang pintar dan tragis, Camille - memberikan kredit kepada binaan itu kerana membantunya dalam mendapatkan cahaya dalam puisinya pada 1913, My Conversion.

Ketika itu Hari Krismas 1886 dan kumpulan koir menyanyikan lagu Magnificat apabila “sepintas lalu, hatiku tersentuh dan aku percaya... yang mengangkat keseluruhan hidupku,” tulisnya.

Malah penyair aliran Komunis, Louis Aragon memberikan penghormatan kepadanya dalam novelnya, Aurelien dan puisinya, Paris 42 yang menjadi simbol perlawanan terhadap Pendudukan Jerman.


Notre-Dame yang menjadi inspirasi dalam penghasilkan karya seni daripada opera, balet serta novel hingga filem dan permainan video, terbakar Isnin lalu. - Foto AFP

Guru sastera Amerika, Joseph Campbell - bukunya, The Hero with a Thousand Faces disanjung George Lucas sebagai pengaruh besar kepada saga Star Wars - sangat obses dengan gereja besar itu.

Campbell sangat terkesan dengan idea kuno mengenai dewi yang muncul kembali dalam Kristian dengan ‘ibu keduanya’, Notre-Dame (Our Lady dalam bahasa Perancis).

Novel Hugo sahaja diadaptasi ke filem tidak kurang daripada 10 kali dengan yang pertama serentak dengan kelahiran pawagam pada 1905 dengan judul La Esmeralda.

Sekurang-kurangnya ada lima adaptasi drama televisyen dengan pelakon British, Idris Elba bakal mengarahkan versi kontemporari untuk Netflix dengan beliau sendiri bakal berlakon sebagai si bongkok Quasimodo.

Dua filem paling terbaik yang diketahui ialah The Hunchback of Notre Dame dengan Gina Lollobrigida dan Anthony Quinn ditayangkan pada 1956, manakala versi animasi Disney muncul 40 tahun kemudian dengan suara Demi Moore.

Notre-Dame juga sering dijadikan latar belakang banyak filem termasuk filem Woody Allen, Midnight in Paris (2011) dan filem kegemaran ramai, Amelie yang diarahkan Jean-Pierre Jeunet pada 2001.

Gereja itu juga menjadi lubuk kepada filem pecah panggung, Assassin’s Creed Unity (2014) yang berlatarkan Revolusi Perancis pada 1789 dengan

menampilkan latar realistik yang dicipta oleh studio Ubisoft.

Permainan video itu sendiri berlatarkan video viral, Templar Assassin oleh bintang YouTube, Norman and Squeezie, yang ditonton hampir 70 juta kali.


Notre-Dame yang menjadi inspirasi dalam penghasilkan karya seni daripada opera, balet serta novel hingga filem dan permainan video, terbakar Isnin lalu. - Foto AFP

Sementara Notre Dame sering menjadi lokasi kegemaran pelukis catan pada hujung minggu, hiasan dalamannya pula menjadi latar pada salah satu kanvas Jacques-Louis David yang paling memukau, The Coronation of Napoleon (1807).

Ia menggambarkan maharaja mengambil mahkota untuk meletakkannya di atas kepala sendiri, sekali gus lambang mutlak bahawa beliau berjaya di atas usaha sendiri.

Marc Chagall sangat terinspirasi dengan gereja besar itu untuk visinya terhadap Paris, begitu juga Maurice Utrillo dalam banyak kajiannya terhadap bangunan itu.

Lukisan ikonik Eugene Delacroix, Liberty Leading the People yang menggambarkan sekatan revolusi pada 1848 turut menampilkan dua menara Notre-Dame di bahagian latar belakangnya.

Notre-Dame juga menjadi set kepada banyak naskhah drama, opera dan muzikal, begitu juga balet Jules Perrot, La Esmeralda yang pertama kali dipentaskan di Her Majesty’s Theatre, London pada 1844.

Persembahan tarian balet lain adalah pada 1965, Notre Dame de Paris oleh Roland Petit yang menampilkan komposer pemenang Oscar, Maurice Jarre dengan kostum oleh Yves Saint Laurent.

Opera pertama berasaskan buku Hugo, La Esmeralda, dipentaskan seawal-awalnya pada 1836, hanya lima tahun selepas jilid terakhir buku itu diterbitkan.

Namun, persembahan pentas yang paling berjaya setakat ini ialah muzikal Luc Plamondon dan Richard Cocciante pada 1998, Notre-Dame de Paris yang dipentaskan di lebih 20 negara. - AFP

159 dibaca
Berita Harian X