Rabu, 17 April 2019 | 1:37pm
Kebakaran Notre-Dame de Paris Cathedral turut melonjakkan novel The Hunchback of Notre-Dame karya Victor Hugo di pasaran. - Foto AFP

'Ramalan' kebakaran gereja dalam novel Victor Hugo

PARIS: Novel Victor Hugo, The Hunchback of Notre-Dame mengungguli carta senarai buku terlaris di pasaran Amazon ketika bomba berjaya memadamkan api yang memusnahkan gereja besar purba.

Novel Gothik versi asal dalam bahasa Perancis dengan judul Notre-Dame de Paris itu, menjadi buku yang jualan terpantas di negara berkenaan dan nombor satu buku terlaris di pasaran di seluruh dunia dalam bahasa Inggeris berdasarkan dua sub-kategori cereka sejarah.

Filem animasi versi Disney kisah itu turut memacu ke tangga teratas dalam senarai filem keluarga.

Ketika Hugo memulakan kisah 11 jilidnya pada 1829, Notre Dame - bangunan berdiri megah itu - yang dikaguminya, sebenarnya berada dalam keadaan menyedihkan dan terbiar.

Bagaimanapun kisah epiknya mengenai takdir tragik gadis Gipsi, Esmeralda yang berjaya memikat hati Kapten Phoebus, penyair Pierre Gringoire, Archdeacon Frollo - dan si bongkok Quasimodo - membantu usaha pemuliharaan monumen gergasi abad ke-19 itu.

Satu petikan daripada bad keempat dalam jilid terakhir novel itu, dimuat naik secara meluas dalam media sosial sebagai ramalan kebakaran Isnin lalu yang memusnahkan bumbung dan menyebabkan menaranya runtuh.


Novel The Hunchback of Notre-Dame karya Victor Hugo. - Foto ihsan Goodreads

“Semua pandangan tertumpu ke puncak gereja,” Hugo menulisnya yang seolah-olah membayangkan jutaan manusia yang berkumpul di tebing Sungai Seine atau menyaksikannya di kaca televisyen ketika struktur berusia 850 tahun itu terbakar.

“Apa yang mereka saksikan sangat pelik. Di bahagian puncak galeri teratas, lebih tinggi daripada tingkap tengah berbunga mawar, api besar menyala-nyala antara dua menara loceng dengan percikan yang berpusar-pusar.

“Api besar, garang dan kuat, sebahagiannya diterbangkan angin dengan asapnya.

“Di bawah nyalaan itu, di bawah birai gelap dengan kilauan corak trefoil, berakhir di patung Gargoyle, memuntahkan hujan berapi yang warna peraknya mengalir jelas berlatarkan kegelapan di bahagian bawah di hadapan gereja itu,” tulisnya.

Orang Perancis memiliki kecenderungan untuk beralih ke sastera ketika krisis negaranya.

Jualan karya ode kepada Perancis yang ditulis pengarang Amerika, Ernest Hemingway, pada 1920-an, A Moveable Feast, melonjak selepas serangan terhadap Paris pada November 2015.

Hugo menjadikan kisah romantik unggulnya berlatarbelakangkan tahun 1428 semasa pemerintahan Louis XI tetapi The Hunchback of Notre Dame sebenarnya ialah rumusan kepada seni bina bangunan itu sendiri.

Ramai pengkritik menganggap gereja besar itu sendiri ialah watak utama novel berkenaan.

Dalam petikan lain yang terkenal daripada novel itu, Hugo mengeluh bagaimana mercu tanda zaman pertengahan di tengah-tengah Paris itu dibiarkan musnah.

“Banyak keindahannya dapat dikekalkan pada usia tuanya, ia bukan mudah untuk menahan nafas dan mengawal amarah apabila kita mendapati terlalu banyak kerosakan dan kecacatan yang dilakukan oleh manusia serta masa terhadap monumen berharga itu, tanpa penghormatan terhadap Charlemagne (Maharaja Rom) yang meletakkan batu asas pertama atau Philip Augustus (1165-1223) yang menyempurnakan binaan terakhir.”

Hugo sebagai pelopor yang tidak kenal penat-lelah - yang dianggap ramai sebagai bapa intelektual kepada Kesatuan Eropah - sempat menyaksikan pemuliharaan besar-besaran gereja itu diselesaikan oleh arkitek Jean-Baptiste-Antoine Lassus dan Eugene Viollet-le-Duc. - AFP

948 dibaca
Berita Harian X