Isnin, 18 March 2019 | 1:47pm
Ramai pemain makyung yang bertudung dan menutup aurat. - Foto Supian Ahmad

Makyung di Kelantan tidak tampil pelakon wanita, tiada mantera

KUALA LUMPUR: Makyung di Kelantan mungkin tersekat tetapi tidak bermakna seni tradisi itu tidak berkembang, sebaliknya perkembangan berlaku di seluruh negara termasuk menjadi antara subjek seni diajar di universiti awam (UA).

Pegawai Kebudayaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Noor Hayati Zakaria, berkata selain UMK, seni makyung juga mendapat tempat di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Di UMK, kami selalu mengadakan bengkel makyung dengan penyertaannya datang dari seluruh negara.

“Apa yang kami buat adalah untuk memastikan seni ini terus bertahan dan dikenali generasi baharu,” katanya pada BH di sini.

Noor Hayati berkata, pembelajaran makyung di Kelantan juga tidak hanya berlaku di UMK, sebaliknya turut diajar kepada kakitangan awam di negeri itu.

“Bagaimanapun kami hanya mengajar kakitangan lelaki kerana ada larangan untuk campuran lelaki dan perempuan dalam persembahan makyung di negeri ini.

“Saya fikir tidak mengapalah asalkan makyung masih bertahan dan dipulihara,” katanya.

Minggu lalu, Pelapor Khas Hak Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Karima Bennoune mendesak kerajaan memperbaiki hak berbudaya berikutan masih wujud sekatan terhadap acara seni dan budaya seperti makyung dan wayang kulit di Kelantan.

Bennoune ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Mengenai Seni dan Budaya Antarabangsa Ke-8, The Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPac) berkata, tindakan mengharamkan seni budaya makyung yang berasal daripada seni tradisi tempatan adalah sangat memalukan.


Pegawai Kebudayaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Noor Hayati Zakaria. - Foto Supian Ahmad

Noor Hayati berkata, pendapat Bennoune kurang tepat kerana makyung tidak diharamkan tetapi tidak menafikan masih ada sekatan terhadapnya berikutan pandangan yang masih mengaitkannya dengan amalan syirik.

Noor Hayati ialah generasi ketiga aktivis seni makyung berkata, sekatan sedemikian tidak mematahkan semangatnya untuk terus memperjuangkan makyung.

Beliau pewaris penggiat makyung 1950-an, iaitu neneknya, Che Kemala Che Muhamad atau lebih dikenali sebagai Cik Kemala Raja dan ibunya primadona makyung Khatijah Awang.

Beliau berkata, dalam mengembangkan seni budaya, penggiat seni perlu peka dengan peraturan, sekali gus mematuhi peraturan seperti di Kelantan yang menyekat persembahan campuran lelaki dan perempuan.

Beliau yang turut menguruskan kumpulan makyung, Seri Temenggung berkata, kumpulan itu juga memiliki pemain makyung lelaki dan wanita tetapi jika pementasan itu dibuat di negeri itu, mereka tidak akan menurunkan pelakon wanita.

“Turut tidak dibenarkan dalam persembahan makyung di Kelantan ialah bacaan mantera, selain persembahan cerita mengenai dewa-dewi.

“Kami akur, malah sudah lama pembacaan mantera tidak lagi diamalkan dalam persembahan makyung tetapi ia masih diajar untuk tujuan pembelajaran di universiti,” katanya.

Tegas Noor Hayati, dari sudut cerita pula, beliau lebih selesa mempersembahkan cerita semasa misalnya Anak Raja Godang dan Puteri Tujuh Beradik.

Malah katanya, apa sahaja cerita boleh dipersembahkan seperti kisah klasik Bawang Putih Bawang Merah asalkan mematuhi ciri cerita makyung, iaitu gabungan tarian, nyanyian, drama dan komedi.

Beliau berkata, tidak dinafikan generasi lama pemain makyung mungkin kurang sensitif mengenai peraturan dalam agama tetapi masyarakat semakin peka dan memahami sebaiknya hingga mereka yang terbabit memastikan peraturan berkenaan dipatuhi.

“Dari segi pakaian persembahan makyung, jika diperhatikan pakaian pemain makyung patuh syariah, malah ramai bertudung lengkap dan menutup aurat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan, Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Salehhudin Md Salleh, berkata kebanyakan penggiat seni budaya di Kelantan termasuk makyung peka dengan sekatan yang diadakan kerajaan negeri dan bijak menyesuaikan keadaan.

Berita Harian X