Khamis, 7 March 2019 | 11:17am
Gambar fail pengarang Columbia, Gabriel Garcia Marquez dirakamkan pada 30 Mei 2007 bersama isterinya, Mercedes Barcha yang menandatangani bukunya sebelum menaiki kereta api untuk kembali ke kampung halamannya, Aracataca di Santa Marta.

Novel agung sasterawan Colombia masuk Netflix

NEW YORK: Novel karya pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan, Gabriel Garcia Marquez, One Hundred Years of Solitude akan diadaptasi sebagai drama siri televisyen berbahasa Sepanyol di Netflix.

Netflix dalam kenyataannya berkata, Rodrigo Garcia and Gonzalo Garcia Barcha, iaitu anak kepada mendiang pengarang Colombia itu, akan bertindak sebagai produser eksekutif siri berkenaan yang penggambarannya akan dilakukan di Columbia.

One Hundred Years of Solitude yang dianggap karya agung yang mendefinisikan realisme magis sebagai genre sastera itu, diterbitkan pada 1967. Ia berkisar tujuh generasi keluarga Buendia di kota fiksyen Macondo di Columbia.

“Selama berdekad-dekad, bapa kami enggan menjual hak adaptasi ke filem buku itu kerana beliau percaya ia tidak mungkin dapat dilakukan dalam kekangan durasi filem atau menghasilkannya dalam bahasa selain bahasa Sepanyol tidak akan memberikan keadilan kepada karya.

“Bagaimanapun di bawah era keemasan siri televisyen baharu dengan penulisan dan pengarahan berkualiti serta penerimaan penonton global terhadap program dalam bahasa asing, sekarang menjadi masa yang tepat,” katanya.

Garcia Marquez ialah anggota terkemuka generasi pengarang ‘Latin American boom’ pada dekad 1960-an dan 1970-an yang turut membabitkan penerima Nobel seperti Octavio Paz dari Mexico dan Mario Vargas Llosa (Peru).

One Hundred Years of Solitude diterjemah ke 46 bahasa dan dijual sekitar 50 juta naskhah di seluruh dunia.

Netflix sebelum ini berjaya dengan persembahan dan filem yang menggunakan bahasa Sepanyol sepenuhnya atau sebahagiannya seperti drama siri Narcos dan filem yang meraih Anugerah Oscar, Roma.

Garcia Marquez yang turut menghasilkan novel Chronicle of a Death Foretold (1981) dan Love in the Time of Cholera (1985), meninggal dunia pada April 2014 ketika berusia 87. - AFP

155 dibaca
Berita Harian X