Ahad, 17 Februari 2019 | 8:56pm
Rumah ini yang dikenali sebagai Rumah Degil (disebabkan ia satu-satunya binaan 1920-an yang masih kekal di Chow Kit hingga 2013) dibina semula dengan dana daripada Jabatan Warisan Negara. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Rumah Degil saksi evolusi negara

• Rumah kayu dibina pada 1926 itu, berukuran 4.57 meter lebar dan 15.24 meter panjang

• Pemiliknya Sutan Mengatas atau Jaafar Sutan Sinombar, iaitu anak saudara kepada pengasas Kuala Lumpur, Sutan Puasa

KUALA LUMPUR: Rumah pusaka binaan 1926 yang dikaitkan dengan waris pengasas Kuala Lumpur, Sutan Puasa akhirnya selesai didirikan semula di halaman Balai Seni Negara, Jalan Tun Razak.

Selepas tapak rumah itu dijual pada 2013, struktur warisan berusia 93 tahun dirobohkan untuk memberi laluan pembangunan.

Mujur setiap rangka binaan rumah itu disimpan sekumpulan sukarelawan yang menggelarkan diri sebagai Rumah Pusaka Chow Kit (RPCK) dengan tujuan mendapatkan dana membinanya semula.

Selepas hampir tujuh tahun disimpan, rumah itu yang dikenali juga sebagai Rumah Degil (disebabkan ia satu-satunya binaan 1920-an yang masih kekal di Chow Kit hingga 2013) dibina semula dengan dana daripada Jabatan Warisan Negara (JWN).

Walaupun sudah siap dibina, Rumah Degil masih belum boleh dikunjungi orang awam, malah JWN belum lagi menyerahkannya kepada Balai Seni Negara secara rasmi.

Timbalan Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Ameruddin Ahmad, berkata pembinaan semula Rumah Degil menyaksikan gabungan dua akta, iaitu Akta Warisan Negara 2005 dan Akta Lembaga Balai Seni Negara 2011.


Timbalan Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Ameruddin Ahmad. - NSTP/Nik Hariff Hassan

“Sesebuah rumah dikatakan bayang kepada diri tuannya, tetapi bagi sebuah negara, rumah membawa makna lebih dari itu, ia adalah saksi ketamadunan dan jatuh bangun nusa.

Bawa falsafah lain

“Apabila Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) memilih halaman Balai Seni Negara di Jalan Tun Razak sebagai lokasi baharu membangunkan semula rumah ini, ia mencatat sejarah tersendiri,” katanya.

Tegas Ameruddin, mendirikan semula rumah itu memberi impak istimewa kepada Balai Seni Lukis kerana pembinaan semula Rumah Degil bukan hanya kerja memulihara warisan, bahkan membawa falsafah lain yang lebih luas maksudnya.

Kewujudannya di halaman Balai Seni Negara dijangka mampu menjadi tarikan kepada pengunjung, selain sebagai memori kepada evolusi perkembangan Malaysia sebagai sebuah negara.

“Daripada satu segi, rumah ini memori masa silam dan perlu dihidupkan dengan pelbagai acara supaya ia terus dikenang.

“Apatah lagi dengan kedudukan Rumah Degil ini sebagai warisan negara yang mensyaratkan facade rumah ini tidak boleh diubah sebaliknya perlu dilindungi sebaiknya,” katanya.

Contoh rumah moden 1920-an

Bagaimanapun tambah Ameruddin, hal yang jauh lebih besar adalah Rumah Degil ialah contoh rumah moden 1920-an yang dibina di kawasan yang menjadi tumpuan ramai berikutan kedudukan bandar raya ini ketika itu sebagai lokasi perlombongan bijih timah.


Rumah Pusaka Chow Kit atau lebih dikenali Rumah Degil didirikan semula di halaman Balai Seni Negara diwartakan sebagai Warisan Khazanah Negara. - NSTP/Nik Hariff Hassan

“Ia testimoni sejarah, sudah wujud orang Melayu yang moden, berkemampuan dan memiliki daya keusahawanan,” katanya.

Ameruddin berkata, walaupun rumah itu mungkin dikaitkan dengan seni bina rumah tradisional Perak yang disebut sebagai rumah potong dengan bumbung Limas, tetapi ia tidak 100 peratus memenuhi ciri tradisi itu.

“Ukirannya tidak banyak kerawang, binaannya ringkas dan saya pasti jika kita membuat perbandingan rumah di bandar raya pada zaman itu dengan rumah di kawasan lain akan terlihat perbezaan yang ketara.

“Ia mirip seni bina tradisional Perak mungkin disebabkan ketika itu ia adalah aliran seni bina terkini apatah lagi dengan kedudukan Perak sebagai lokasi tumpuan yang berperanan sebagai pusat perlombongan bijih timah,” katanya.


Rumah Degil yang didirikan pada 1926 asalnya dibina di kawasan Chow Kit dan pernah didiami selama empat generasi. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Rumah Degil yang didirikan pada 1926 asalnya dibina di kawasan Chow Kit dan pernah didiami selama empat generasi.

Perkembangan ekonomi menyaksikan menjadi satu-satunya rumah tradisi yang bertahan di kawasan itu sehingga 2013 meskipun ia terhimpit antara bangunan.

Rumah itu didirikan oleh Sutan Mengatas atau Jaafar Sutan Sinombar, iaitu anak saudara kepada pengasas Kuala Lumpur, Sutan Puasa. Rumah berkenaan didiami oleh waris Sutan Puasa, Norma Manjawali sebelum tapak rumah berkenaan dijual pada 2013.

Bagaimanapun, atas rasa tanggungjawab terhadap sejarah Kuala Lumpur, RPCK berusaha mendapatkan bantuan kewangan untuk membinanya semula.

Berita Harian X