Isnin, 11 Februari 2019 | 11:04am
Seminar Ketokohan Nakula di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan (PPAK), Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Nakula tokoh ilmu 'jarang biji mata'

KOTA BHARU: Allahyarham Abdullah Mohamed atau lebih dikenali sebagai Nakula, disifatkan sebagai tokoh penelaah, pencatat, pengkaji, penulis dan pengarang berwibawa serta dinamik, malah ada yang menggelarkan sejarawan Kelantan itu sebagai ulat buku.

Begitulah gambaran hebat yang disifatkan terhadap Nakula yang meskipun beliau sudah kembali ke pangkuan Ilahi pada April 1998.

Semangat dan cinta kepada buku sudah ditunjukkan Nakula sejak berusia 13 tahun lagi pada 1944 yang menyaksikan beliau membaca ratusan buku dan melakukan banyak kerja penyalinan teks atau rencana.


Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A Aziz Deraman. - Foto Syamsi Suhaimi

Tiada kemudahan teroka ilmu

Sisi tersembunyi itu dikongsi oleh Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A Aziz Deraman, dalam pembentangan kertas kerjanya pada Seminar Ketokohan Nakula di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan (PPAK), di sini.

Sebagai individu yang mengenali Nakula lebih 20 tahun, A Aziz berkata, pengarang itu memberitahunya pengajian formal yang diterima hanya 20 peratus sahaja, manakala selebihnya diperoleh daripada usaha sendiri sama ada kajian serta belajar di luar sekolah.

“Pengajian secara tidak formal yang dilaluinya adalah ketika belajar di sekolah Melayu pada zaman Jepun.

“Sekitar November 1942, beliau sudah mencatat segala peristiwa dalam buku peringatan, sekali gus menjadi catatan awalnya mengenai sejarah serangan tentera Jepun ke atas Kelantan.

“Pada zaman Jepun, tiada kemudahan untuk meneroka ilmu tetapi Nakula bersyukur kerana mempunyai tiga perpustakaan peribadi milik keluarganya, iaitu dua datuk serta bapa sepupunya,” katanya.

A Aziz berkata, ilmu yang mula-mula menarik perhatian tokoh itu untuk dikaji adalah mengenai sejarah, manakala buku yang paling memberi kesan kepada jiwanya ialah keagungan bangsa Melayu, iaitu Sejarah Alam Melayu karangan Abdul Hadi Hasan dan Buyong Adil yang dibaca keseluruhannya pada 1944.


Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban), Datuk A Aziz Deraman (tiga kiri) beramah mesra dengan peserta sempena Seminar Ketokohan Nakula selepas membentangkan kertas kerjanya di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan (PPAK) Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Kajian tumpu ilmu politik

Selain sejarah, kajiannya turut tertumpu kepada ilmu politik dan astronomi hingga pada 1946, beliau sudah membaca dan menyalin karangan yang baik daripada buku serta majalah.

Antara topik yang menjadi tumpuan ialah politik, tugas kerajaan, perlembagaan, negara dan undang-undang antarabangsa, komunisme di Russia, anarkisme, fasisme, demokrasi, ekonomi dan sosial.

“Hasilnya, beliau menulis dalam majalah Pengasuh, akhbar Majlis dan Utusan Zaman sejak November 1947 sehingga 1949 mengenai sejarah politik dan astronomi.

“Beliau juga menulis buku sekolah rendah dan menengah mengenai riwayat hidup Nabi Muhammad SAW, hukum Islam, ilmu fiqh, tauhid dan sejarah Islam, malah hingga 1979, ada 34 judul bukunya yang belum dicetak dan diterbitkan,” katanya.

A Aziz menyifatkan Nakula sebagai tokoh yang memiliki iltizam, daya juang persuratan yang kukuh dan optimistik dengan wawasan yang didokongnya, sekali gus mengumpamakannya sebagai tokoh ‘jarang biji mata,’ iaitu perumpamaan dialek Kelantan yang bermakna satu dalam seribu.

Selain A Aziz, seminar itu menampilkan tiga pembentang, iaitu bekas Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohammad Ali Noor Abdul Kadir yang menyampaikan kertas kerja yang bertajuk Falsafah Pemikiran Melayu dan Hubungan dengan Kebudayaan Islam, Pandangan NAKULA.

Dr Mohammad Ali Noor berkata, buku karya Nakula yang bertajuk Falsafah dan Pemikiran Orang-orang Melayu diterbitkan pada 1980 oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan diulang cetak pada 1984.

225 dibaca
Berita Harian X