Ahad, 10 Februari 2019 | 4:55pm
Gambar fail Pengarang, kartunis dan pelukis ilustrasi terkenal Perancis, Tomi Ungerer yang menunjukkan karyanya pada Pameran Ungerer's Political Drawings di Muzium Tomi Ungerer. - Foto AFP

Kartunis pengkritik Trump, pencinta buku meninggal dunia

STRASBOURG, PERANCIS: Pengarang, kartunis dan pelukis ilustrasi terkenal Perancis, Tomi Ungerer, 87, yang juga aktivis tegar memprotes pengasingan kaum, Perang Vietnam dan Donald Trump, meninggal dunia di Ireland, Jumaat lalu.

Rakannya selama 35 tahun yang juga bekas penasihat Ungerer, Robert Walter, menyifatkan tokoh itu sebagai genius dan berbakat dalam banyak bidang.

“Ungerer juga cintakan sastera hingga pernah berkata beliau menulis mengenai apa yang dilukis dan melukis apa yang ditulis,” katanya.

Berasal dari Alsace, Ungerer menetap di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada sebelum berhijrah ke Ireland.

Ungerer juga mempunyai minat yang luar biasa kepada buku kerana dibesarkan dengan budaya membaca sejak kecil.

Karya Ungerer dalam genre buku kanak-kanak mendapat sambutan global seperti The Three Robbers dan The Moon Man, selain turut menghasilkan lukisan satira dan poster politik.

Beliau menulis dalam tiga bahasa, iaitu bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman serta menerbitkan lebih 140 judul yang diterjemahkan kepada 30 bahasa.


Gambar fail pengarang, kartunis dan pelukis ilustrasi terkenal Perancis, Tomi Ungerer berlatarbelakangkan tiga lukisan lakarannya yang dipamerkan di Pameran Eclipse - New Things for the Eyes 1960 to 2010 di Galeri Seni Wuerth, Schwaebisch, Jerman pada 2010. - Foto EPA

Dikritik hasilkan karya tidak sopan

Bagaimanapun, aktiviti sosial dan tulisannya yang tidak sopan menyebabkan beberapa karyanya dilabel sebagai karya memberontak oleh pengkritik.

Lahir dalam keluarga pembuat jam tangan di Strasbourg, pada 1931, Ungerer kehilangan ayahnya ketika berusia tiga tahun.

Beliau menyaksikan penaklukan Alsace oleh Jerman pada Perang Dunia Kedua dan penerapan ideologi Nazi di sekolah yang diceritakan dalam autobiografinya.

Selepas perang tamat, Ungerer mengembara ke seluruh Eropah, sebelum beliau berkunjung ke New York pada 1956 berbekalkan hanya AS$60 (RM244) yang disifatkannya sebagai berbuat demikian dengan ‘tubuh hanya dipenuhi lukisan dan manuskrip.’

Tahun berikutnya, selepas menemui editor buku kanak-kanak, Ursula Nordstrom di Harper and Row, karya sulungnya, The Mellops Go Flying diterbitkan dan mendapat sambutan ramai.


Gambar fail pengarang, kartunis dan pelukis ilustrasi terkenal Perancis, Tomi Ungerer mengunjungi muzium yang didedikasi kepada sumbangan seninya. Ungerer meninggal dunia pada usia 87 di Ireland. - Foto AFP

Sumbang 11,000 item seni

Beliau menghasilkan pelbagai karya bermula siri lengkap Mellop kepada beberapa buku serta karya satira yang mendapat anugerah termasuk Horrible dan The Underground Sketchbook.

Ungerer menyumbang lebih 11,000 karya asal seni, arca, buku dan permainan kepada muzium yang dikhaskan untuk karya dan kehidupannya yang dibuka pada 2007 di Strasbourg.

Sejak itu, Muzium Tomi Ungerer dipilih sebagai antara 10 muzium terbaik oleh Majlis Eropah.

Beliau diberikan anugerah Legion Of Honour oleh Perancis pada 1996 dan Commander of the Legion of Honour (2018). - AFP

126 dibaca
Berita Harian X