Khamis, 7 Februari 2019 | 12:19pm
Hasrul Rizwan bersama novelnya. - Foto NSTP

Novelis pilih e-buku, Wattpad terbit karya

KUALA LUMPUR: Menyedari pertambahan kelompok pembaca dalam media baharu berbanding medium cetak, novelis popular tanah air seperti Latifah Emir Ahmad ‘bertukar angin’ dengan menerbitkan karya dalam bentuk e-buku.

Latifah atau lebih dikenali sebagai Aina Emir berkata, karyanya ke-28, Je T’aime, menjadi novel pertama diterbitkan dalam bentuk e-buku, sekali gus menandakan beliau ‘menyertai’ kelompok pembaca yang semakin terbuka meneroka medium menikmati bahan bacaan.

Aina Emir berkata, ia ditambah kelembapan pasaran buku konvensional yang memaksanya untuk memikirkan cara baharu menerbitkan karya.

“Cara pembaca menikmati bahan bacaan kini sudah berubah dan mereka tidak lagi kekok menggunakan telefon pintar serta peranti tablet, sekali gus memberi kesan kepada pasaran buku masa kini.

“Selain penulis, penerbit turut terkesan dengan perubahan itu hingga ada yang terpaksa menutup perniagaan.

“Jika mahu kekal relevan, saya perlu mula mengambil risiko besar dengan membabitkan diri melalui penerbitan dengan cara baharu ini,” katanya kepada BH di sini.


Karya Aina Emir, Je T’aime. - Foto NSTP

Berpengalaman selama 14 tahun dalam bidang penerbitan, Aina Emir melihat usaha menerbitkan Je T’aime dalam bentuk e-buku memberi lebih banyak kebebasan kepadanya sebagai penulis dan penerbit.

Tiada tekanan besar terutama kos yang terpaksa ditanggung untuk kerja percetakan.

“Penerbitan konvensional membabitkan perbelanjaan sangat tinggi termasuk kos jualan sedangkan maklum balas pembaca dan pulangannya tidak diketahui sehingga buku berada di pasaran.

Dijual lebih murah

“Ia juga memberi kebaikan buat pengguna kerana e-buku dijual lebih murah berbanding buku konvensional. Je T’aime misalnya boleh didapati di laman web,” katanya.

Aina Emir memaklumkan beliau juga memulakan proses menjadikan karya bercetak yang lain sebagai e-buku.

Meskipun mengakui ada pengikut setianya kurang bersedia menikmati ‘peralihan’ karyanya kepada e-buku, Aina Emir mahu membudayakan bentuk membaca dalam cara baharu itu.

“Mungkin ada sesetengah pembaca setia lebih gemar melihat buku saya dalam bentuk konvensional tetapi ada juga nampaknya bersedia bergerak ke arah itu.

“Saya tidak begitu memikirkan keuntungan, sebaliknya lebih utama lagi adalah untuk membudayakan bentuk membaca dalam pelbagai medium.

“Peralihan ini tentu mengambil masa tetapi yang penting kita mulakan daripada sekarang,” katanya.


Pengurus Kanan Perbadanan Kota Buku (PKB), Hasri Hasan. - Foto Hafiz Sohaimi

Sebelum ini, BH menyiarkan kenyataan Pengurus Kanan Perbadanan Kota Buku (PKB), Hasri Hasan, mengenai cara mencapai bahan bacaan yang tidak bergantung kepada medium konvensional menyebabkan penerbit dan penulis perlu saling menyesuaikan diri dengan media alternatif dalam ruang digital termasuk video, media sosial dan permainan.

Antara media alternatif disebut Hasri ialah Wattpad yang diasaskan Allen Lau dan Ivan Yuen dari Kanada.

Wattpad menjadi platform utama peminat karya fiksyen masa kini dengan 5 juta pengguna unik sebulan dan 65 juta dicatat mendaftar masuk dan membaca karya disiarkan di seluruh dunia.

Ia juga banyak digunakan pengarang tanah air termasuk penulis novel Bercakap Dengan Jun (BDJ), Hasrul Rizwan yang aktif menggunakan aplikasi berkenaan sejak lima tahun lalu ketika Wattpad mula menjadi popular di negara ini.

Hasrul berkata, Wattpad diguna dengan meluas di negara ini bukan sahaja kerana aplikasi itu percuma, bahkan mempunyai pengurusan aplikasi mudah dan capaian pantas.

Medium bersifat global

“Ia medium yang bagus dan bersifat global untuk memperkenalkan karya baharu, sekali gus dapat menarik minat pembaca dari pelbagai lapisan umur dari dalam dan luar negara.

“Ada juga pembaca saya datang dari Singapura dan Brunei Darussalam serta pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir dan Kanada, selain bekerja di Australia.

“Mereka sukar mendapatkan karya terbaru penulis Malaysia, justeru maklumat itu mereka dapatkan melalui pembacaan di Wattpad, sekali gus mendorong mereka membelinya,” katanya.

Kata Hasrul, Wattpad juga membantu pemasaran buku konvensional dengan memuat naik beberapa bab awal.

“Pembaca lebih tertarik membeli selepas membaca bab pengenalan,” katanya.

414 dibaca
Berita Harian X