Jumaat, 11 Januari 2019 | 11:56am
Buku Aku, Aceh dan Tsunami. - Foto NSTP

Tragedi tsunami Aceh satukan saudara serantau

WALAU apa genre buku yang dihasilkan, perkara paling utama adalah keupayaan pengarang untuk menyampaikan ceritanya. Asas menyampaikan cerita tentulah gaya penulisan yang mampu membuatkan pembaca kekal teruja hingga halaman terakhir.

Aku, Aceh dan Tsunami tulisan bersama Norazam Ab Samah dan Syed Azwan Syed Ali antara naskhah yang memenuhi semua keperluan itu.

Dimulakan dengan laporan tsunami di media Malaysia, perjalanan memoir ini seterusnya membawa pembaca mengenali Norazam, iaitu arkitek yang terbabit dengan kerja kesukarelawanan.

Meskipun dunia kesukarelawanan dan bantuan kemanusiaan lebih dekat dengan bidang perubatan, sebagai arkitek Norazam ternyata punya ruang tersendiri dalam membantu golongan yang memerlukan seperti di Aceh, beliau membantu pembinaan kem bagi menempatkan mangsa yang terselamat.

Selain merakamkan prosedur memulakan bantuan kemanusiaan, naskhah ini turut merakamkan suka duka mangsa yang terselamat daripada tsunami yang melanda wilayah itu pada 2004.


Penulis buku Aku, Aceh dan Tsunami, Norazam Ab Samah. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kehilangan isteri, anak

Misalnya kisah Pak Bakar dan Pak Lah yang terselamat daripada gulungan ombak tsunami, namun malangnya mereka kehilangan isteri dan anak dalam tragedi sama.

Pak Bakar misalnya, hanya berjaya menyelamatkan dua anak perempuannya sedangkan isteri dan anak sulungnya, berusia 12 tahun lenyap di depan mata.

Mayat isterinya ditemui empat hari kemudian, namun anak sulungnya tidak ditemui sehingga kini.

Suasana kelam-kabut pada hari pertama tiba di Aceh juga dirakamkan dalam naskhah ini apabila gambaran mayat menimbun dan dilonggok-longgokkan di ruang kaki hospital menjadikan setiap langkah petugas perlu berhati-hati.

Hospital bukan hanya pesakit ditemukan, tetapi mereka yang patah hati, mencari-cari ahli keluarga yang hilang. Pada satu saat, agak menyentuh hati apabila mangsa tsunami merayu untuk memberi mereka rawatan terlebih dahulu supaya dapat mencari ahli keluarga yang masih hilang.

Secara keseluruhannya, naskhah ini adalah rakaman pengalaman yang baik, namun pasti sahaja masih ada ruang untuk pembaikan.

Peristiwa tsunami yang melanda Aceh itu sudah pun 15 tahun berlalu, tetapi parut kepedihan itu masih ada apatah lagi kehidupan sudah banyak berubah. Apa yang tidak berubah mungkin rasa kemanusiaan yang menyatukan apatah lagi kebanyakan mangsa adalah sebangsa dan seagama.

INFO: Aku, Aceh dan Tsunami
Penulis: Norazam Ab Samah dan Syed Azwan Syed Ali
Penerbit: Amanie Media Sdn Bhd
Halaman: 259

199 dibaca
Berita Harian X