Rabu, 9 Januari 2019 | 12:43pm
Karya bahasa Inggeris sudah terlalu lama menguasai penterjemahan tanah air dan tumpuan perlu diberikan kepada usaha menterjemah buku dari negara jiran. Gambar hiasan. - Foto Hafiz Sohaimi

'Perlu mula terjemah karya Thailand, Filipina'

KUALA LUMPUR: Pengumuman sejumlah karya besar bahasa Inggeris daripada Amerika Syarikat (AS) yang kehilangan ‘perlindungan’ dan menjadi hak awam tentunya khabar gembira buat pembaca di seluruh dunia, selain penerbit dan pemain industri buku serta kandungan kreatif.

Ini kerana karya yang sebelum ini dipelihara undang-undang hak cipta yang melindunginya, kini boleh diterbit dan dijual sama ada dalam bentuk digital, audio atau bercetak oleh sesiapa sekalipun.

Bagaimanapun bagi Pengasas Buku Fixi Sdn Bhd, Amir Muhamad, karya bahasa Inggeris sudah terlalu lama menguasai usaha penterjemahan di negara ini hingga berita kehilangan status perlindungan dan menjadi hak awam di AS sepatutnya dijadikan penggerak untuk mula menumpukan kepada usaha penterjemahan karya dari rantau ini.

“Mungkin ada kesan kepada usaha penterjemahan di tanah air akibat kehilangan perlindungan hak awam tetapi karya bahasa Inggeris sudah terlalu lama mendominasi usaha penterjemahan di negara ini.

“Secara peribadi saya rasa kita sebenarnya perlu mula menterjemah lebih banyak karya dari rantau sendiri kerana sangat jarang kita lihat karya dari Thailand dan Filipina diterjemah.

“Jika budaya K-Pop dan lambakan filem seram Thailand terbukti popular apa salahnya buku popular dari Asia juga diterjemah?” katanya kepada BH di sini.


Ketua Pegawai Eksekutif Buku FIXI, Amir Muhammad. - Foto Owee Ah Chun

Amir berkata demikian ketika mengulas ‘lembaran baharu’ buat ribuan karya tulisan pengarang AS yang menyertai senarai karya yang menjadi hak awam sejak 1 Januari lalu.

Ia berlaku selepas karya itu hilang perlindungan hak cipta selepas sambungan terma ditetapkan kongres daripada 75 tahun kepada 95 tahun bagi karya diterbitkan bermula 1923 hingga 1977, akhirnya tamat.

Amir berkata, meskipun Buku Fixi masih belum merencana untuk memberi tumpuan kepada usaha menterjemah karya dari rantau Asia pada tahun ini tetapi itu katanya boleh berubah jika mereka bertemu dengan penterjemah yang komited.

“Cabaran paling utama untuk bergerak daripada penterjemahan karya Inggeris ke karya daripada rantau ini ialah usaha mencari penterjemah yang baik.

“Mencari karya untuk diterjemah itu tidak begitu bermasalah, kita hanya perlu tumpukan kepada carta terlaris tempatan setiap negara, pasti ada yang menepati selera pembaca di negara ini,” katanya.

Namun lain pula bagi Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Sakri Abdullah yang menganggap perkembangan di AS itu akan memberi kesan terutamanya dalam usaha penterjemahan karya yang sudah menjadi hak awam.


Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Sakri Abdullah. - Foto Khairul Azhar Ahmad

“Mana-mana penerbit yang pernah memegang hak penterjemahan tentunya mengalami masalah untuk menjualnya kini tambahan lagi dengan kos menterjemah karya sastera itu sendiri yang sangat tinggi.

“Masalahnya dengan karya terjemahan selalunya ialah kos dikeluarkan tidak berbaloi dengan pulangan yang diterima tetapi kami tetap melakukannya sebagai tanggungjawab ITBM,” katanya.

Pada masa sama kata Sakri, kemasukan banyak karya besar itu sebagai hak awam, boleh dimanfaatkan sebagai sebahagian tanggungjawab sosial kerajaan melalui proses pemindahan ilmu.

Karya itu katanya boleh diterjemahkan secara besar-besaran untuk diedarkan kepada sekolah dan perpustakaan tetapi bukan untuk tujuan mendapatkan keuntungan.

“Apa yang berlaku di AS itu tidak sepatutnya melemahkan usaha penterjemahan tambahan lagi masih banyak karya sastera yang belum memasuki senarai hak awam yang boleh kita pilih.

“Bagaimanapun dalam konteks tanah air, usaha penterjemahan ini sejak lima tahun kebelakangan tidak banyak dilakukan disebabkan industri buku yang kini malap.

“ITBM sendiri kini bergerak seiring dasar kerajaan dan tumpuan sekarang banyak diberikan kepada penterjemahan karya dari Jepun,” katanya.

141 dibaca
Berita Harian X