Selasa, 8 Januari 2019 | 11:13am
Pelanggan menikmati kopi dan membaca buku di Fairouz Cafe and Bookshop, Basra yang dinamakan sempena penyanyi terkenal Lubnan. - Foto REUTERS

Kafe buku, lagu Fairouz 'tenangkan' orang muda Basra

BASRA: Nostalgia Mohammed Abdul Ameer untuk menikmati hari lebih baik dan akarnya di Levant, memberikan inspirasi kepadanya untuk membuka kafe percampuran jantina pertama sejak pemerintahan Saddam Hussein yang bertemakan pengiktirafan kepada penyanyi Lubnan, Fairouz.

Kota utara Iraq yang menjadi tanah air bapanya, sejak Saddam dijatuhkan semasa serangan Amerika Syarikat (AS) pada 2003, menyaksikan konflik, kekacauan, konservatif agama dan kekurangan pekerjaan serta perkhidmatan yang teruk.

Mohammed berharap pelanggan yang kebanyakannya generasi muda Iraq, buat sementara dapat melupakan hal itu dan tenggelam dalam timbunan karya sastera Arab di rak buku di kafenya sambil menikmati kopi melalui cawan yang tertera wajah Fairouz.

“Lagu Fairouz dikaitkan dengan memori indah. Tempat ini akan membawa orang ramai kembali ke zaman lalu, era yang lebih baik.

“Kami belajar lagu Fairouz ketika zaman persekolahan hingga sering mengaitkan namanya dengan nostalgia,” katanya di Fairouz Cafe and Bookshop di pusat bandar itu.


Pelayan kedai menghidangkan kopi kepada pelanggan di Fairouz Cafe and Bookshop, Basra yang dinamakan sempena penyanyi terkenal Lubnan. - Foto REUTERS

Kole dengan gambar Fairouz yang suaranya menenangkan disiarkan di radio kereta di semua kota Iraq dan seluruh dunia Arab, turut dijual di kafe itu.

Berusia 29 tahun, Mohammed membesar di tanah air ibunya di Syria tetapi melarikan diri ke Basra pada 2012 ketika tercetusnya perang saudara.

Konflik yang bermula sejak tujuh tahun lalu dengan protes terhadap Presiden Bashar al-Assad, mengorbankan ratusan ribu nyawa dan menyebabkan jutaan rakyat menjadi pelarian.

“Hidup di Syria sangat sukar. Penembak tepat dan penculik menjadi biasa. Saya mengambil keputusan untuk meninggalkannya dan mencari hidup baharu di Basra,” katanya.

Projek impian graduan ekonomi itu - membuka kafe yang pernah memupuk budaya kafe Damsyik - membuahkan hasil dan ramai rakyat tempatan gembira.


Seorang pelanggan wanita membaca buku di Fairouz Cafe and Bookshop, Basra yang dinamakan sempena penyanyi terkenal Lubnan. - Foto REUTERS

Pelanggan yang juga penyampai radio tempatan, Samana Sajjad, 23, berkata apa yang beliau gemar mengenai tempat itu ialah perpustakaan dan perkhidmatan yang baik.

“Tempat ini sunyi dan bebas daripada orang yang mahu mengehadkan kebebasan kami.

“Selepas bekerja sepanjang hari, tempat ini dapat melupakan kerisauan dengan mendengar lagu Fairouz dan membaca buku,” katanya.

Terletak di pertemuan Sungai Euphrates dan Tigris berhampiran Teluk, Basra sejak berabad-abad menjadi benjana budaya dengan kebudayaan Arab, Parsi, Turki, India dan Yunani meninggalkan jejaknya.

Selepas Saddam dijatuhkan, parti konservatif Syiah mengambil alih kuasa di Basra, sekali gus membawa bersama kehidupan beragama yang ketat.


Pelanggan menikmati kopi di Fairouz Cafe and Bookshop, Basra dengan alunan muzik oleh Fairouz. - Foto REUTERS

Orang muda di Basra mengambil bahagian dalam protes pada September lalu yang bertukar ganas, merungut pengangguran, kekurangan perkhidmatan dan penyalahgunaan kuasa.

Medan minyak Basra menyumbang sebahagian besar kekayaan minyak Iraq tetapi kota itu mengalami kekurangan kuasa elektrik dan air seperti di seluruh negara.

Rakyat Iraq yang didominasi Syiah dan sebahagian besar masyarakatnya di Selatan pula konservatif dengan ramai wanita mengenakan abaya hitam dari kepala hingga kaki serta perhubungan antara jantina bukan budaya biasa. - Reuters

129 dibaca
Berita Harian X