Sabtu, 29 Disember 2018 | 2:15pm

Etnik kebal bisa ulat bulu

• Penempatan asal etnik Tompizos dikelilingi ulat bulu tetapi kebal daripada bisa ulat itu

• Mempunyai banyak pantang-larang yang berkaitan dengan sawah padi, beras dan nasi termasuk larangan memijak nasi

• Antara elemen pakaian tradisi Tompizos timah berbentuk segi tiga pada bahagian belakang baju wanita yang mengikut mitos digunakan untuk memanggil roh

• Pakaian berburu untuk lelaki pula banyak menggunakan rantai dihiasi gigi binatang dan parang berukir

SANDAKAN: Dusun Tompizos mungkin kurang dikenali berbanding etnik lain di Sabah, namun suku ini antara yang unik, kerana perkataan Tompizos bermaksud ulat bulu dalam bahasa Kadazandusun.

Tompizos adalah asal perkampungan etnik ini yang kini dikenali sebagai Tompios. Ia terletak berhampiran tugu Nunuk Ragang di Jalan Ranau-Telupid.

Etnik ini kumpulan minoriti dengan anggaran antara 10,000 hingga 15,000 sahaja di Sabah.

Identiti mereka boleh dibezakan dengan suku Kadazandusun lain menerusi sebutan dalam pertuturan, iaitu banyak menggunakan konsonan ‘dl’ yang menghasilkan letupan glotis di tepi lidah dan lelangit.

Kumpulan etnik ini kebanyakan boleh ditemui di lima kampung di Tongod iaitu Kampung Simpang Entilibon, Sanan, Linayukan, Maliau dan Namukon, manakala 20 kampung lagi di Keningau. Antaranya, Batu Lunguyan, Simpan Empat, Mandagan, Pekan Keningau, Kabatang Baru, Sinua serta Sinaron.

Tak lut bisa ulat bulu

Pertemuan dengan Lamia Ladu, 57, wanita etnik Dusun Tompizos yang menetap di Kampung Simpang Entilibon, di sini merungkai asal usul etnik itu yang diberi nama bukan saja sempena mengingati penempatan asal mereka yang dikelilingi ulat bulu, malah suku Tompizos dulunya dikatakan tidak lut dengan bisa ulat gatal.


Lelaki etnik Dusun Tompizos memakai pakaian

Lamia berkata, cara hidup masyarakat dulu yang sering berpindah-randah untuk mencari penempatan baharu membawa kepada penghijrahan etnik itu sehingga ke mukim Lalampas, Ulu Tongod sebelum bertebaran ke kawasan lain termasuk Keningau, selepas kampung mereka diserang penyakit kolera atau taun.

“Mungkin ada amalan dulu yang menyebabkan suku ini tidak lut dengan bisa ulat bulu. Malangnya, tiada antara generasi Tompizos sekarang yang mewarisi amalan itu,” katanya.

Lamia berkata, biarpun banyak adat istiadat yang tidak lagi diamalkan suku Tompizos kini, masyarakatnya masih mementingkan beberapa kepercayaan, khususnya berhubung kait dengan beras.

Antaranya ialah larangan menyenduk nasi dalam periuk daripada bahagian tengah, sebaliknya dimulakan dari tepi, larangan memijak nasi dan tidak boleh meninggalkan walau sebutir pun nasi dalam pinggan kerana semangat padi.

“Pantang larang berladang pula, jika kita menjemur padi tidak boleh ambil terus dari tengah, mesti dari ‘siring’ (tepi).

Perkenal semula pakaian tradisional

“Kalau kita terus ke tengah, yang ‘disiring’ belum dituai, nanti dia (semangat padi) cakap kami sudah dibuang,” katanya.


Wanita etnik Dusun Tompizos memperagakan pakaian tradisional dihiasi manik yang dipanggil sidom sambil menunjukkan peralatan digunakan dalam kegiatan ekonomi golongan itu. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Sehingga kini, belum ada kajian menunjukkan tarikh sebenar kewujudan suku ini meskipun dipercayai sudah lama tergolong dalam gugusan masyarakat Kadazandusun.

Namun, usaha memperkenalkan semula etnik itu, bermula menerusi inisiatif Persatuan Suku Dusun Tompizos Sabah (PSDTS) yang dilancarkan penubuhannya tahun lalu.

PSDTS juga memperkenalkan semula pakaian tradisional dan kebudayaan etnik dengan pakaian dipanggil sinurimban, manakala pakaian pahlawan lelaki dikenali sebagai ponakang.

Berbeza dengan pakaian etnik lain, semua corak dan perhiasan pakaian tradisional etnik Dusun Tompizos menggunakan manik yang dipanggil sidom, selain loceng dan timah berbentuk segi tiga pada bahagian belakang baju wanita yang mengikut mitos etnik itu digunakan untuk memanggil roh.


Etnik Dusun Tompizos turut memiliki kepakaran mengukir ulu parang. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Rantai yang digunakan sebagai aksesori kebudayaan etnik Dusun Tompizos yang berasaskan gigi binabatang buruan. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Etnik Dusun Tompizos gemar menyimpan tengkorak hasil buruan mereka di rumah sebagai perhiasan dan menunjukkan kejayaan mereka memburu binatang. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Pensai pula diperbuat daripada kayu yang dipakai suatu ketika dulu oleh lelaki etnik itu untuk berburu dengan kebanyakan motif termasuk rantai dihiasi gigi binatang, manakala parang yang berukir menunjukkan corak hidup masyarakat dulu serta ekonomi mereka.

Seiring usaha PSDTS memperkenalkan semula etnik itu, Lamia berharap ada usaha dilaksanakan bagi memastikan bahasa etnik itu terus kekal.

“Ramai anak muda sekarang tidak tahu berbahasa Dusun, lebih-lebih lagi Tompizos. Saya harap bahasa ini dapat dikekalkan supaya tidak pupus ditelan zaman,” katanya.

Berita Harian X