Selasa, 20 November 2018 | 3:09pm
SHAHARIR menunjukkan karyanya, ‘Sains Matematik dalam Acuan Bahasa Melayu dan Islam’ pada Wacana Ilmu: Perkembangan dalam Pemeribumian Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Pemeribumian ilmu barat

KUALA LUMPUR: Pengenalan istilah pemeribumian pada 1995, antara usaha meruntuhkan tanggapan dan pegangan salah, iaitu semua khazanah ilmu termasuk bidang sains dan matematik hanya berasal dari Barat.

Diperkenalkan saintis yang juga profesor Fizik-Matematik, Prof Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain, gagasan itu diwujudkan supaya berlaku kritikan ilmu mengikut acuan bahasa, agama dan kebudayaan tempatan, sekali gus bukan hanya mengikut acuan asalnya dari Barat.

Shaharir berkata, pemeribumian juga tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan Islam kerana faktor kebudayaan Melayu itu sendiri tidak terpisah daripada agama ini.

Ilmu yang dilihat daripada perspektif Islam katanya, akan turut merubah makna dan konsep sesuatu sehingga akhirnya ia boleh turut dikritik berasaskan agama.

Beliau turut berkongsi pemeribumian yang dilakukannya terhadap perkataan Inggeris, optimum bermaksud yang terbaik. Berasal daripada perkataan Latin, iaitu optimus, ia sering digunakan dalam pencarian model Matematik di Barat bagi menceritakan sesuatu keadaan sama ada dari aspek keuntungan, kerugian atau pengurusan pada tahap optimum atau yang paling baik.

Konsep optimum kata Shaharir, tiada dalam kebudayaan tempatan yang dapat dilihat daripada peribahasa ‘buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.’

“Adakah konsep paling baik dalam baik kebudayaan Melayu sama dengan kebudayaan Eropah yang kita dukung sehingga kini? Malah dalam aspek bahasa tidak ada peribahasa yang menyebut buat baik sebanyak mungkin (atau optimum).

“Sebaliknya yang disebut ialah buat baik berpada-pada atau secara bersederhana,” katanya pada Wacana Ilmu: Perkembangan dalam Pemeribumian Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), di sini.

Shaharir turut merujuk ayat 143 daripada surah al-Baqarah dan hadis yang menyebut: “Sebaik-baik perkara ialah yang dilakukan dengan pertengahan.”

Pertengahan bermaksud bersederhana atau wusta kata Shaharir, lebih bersesuaian dengan apa disebut melalui ayat dan hadis terbabit berbanding optimum yang lebih ekstrem apabila dimodelkan dengan makna sesuatu nilai yang cukup tinggi atau cukup rendah.

Wusta ganti optimum

“Perkataan wusta ini jika dikembangkan, boleh digunakan dengan meluas bagi menggantikan optimum yang tidak sesuai dengan kebudayaan kita.

“Malah Hamka melalui Tafsir Azhar, ada menjelaskan konsep wusta ini dengan panjang lebar,” katanya pada wacana yang dikendalikan Profesor Pengajian Dunia Melayu, ISTAC UIAM, Prof Datuk Dr Awang Sariyan.

Menurut Shaharir, pemeribumian berdasarkan kebudayaan dan warisan ilmu tempatan jarang dilakukan kerana tanggapan salah masyarakat yang menganggap warisan yang kita miliki ‘tiada ilmu.’

“Biasanya, sebaik saja pemeribumian dilakukan, baru kita menyedari ilmu ini sebenarnya sudah lama dimiliki dalam kebudayaan kita. Cuma konsepnya berlainan disebabkan pengkritikan ilmu berdasarkan bahasa, agama dan warisan membawa nilai yang tersendiri.

“Apabila pemeribumian dilakukan, kita juga akan mencari padanan istilah penting untuk ilmu itu dalam bahasa Melayu yang tentunya akan membawa nilai. Ketika istilah berkenaan dibawa ke dalam kebudayaan kita, ia akan memiliki dimensi baru bagi maknanya,” katanya.

Menurut Shaharir, pemeribumian yang diistilahkan sebagai ‘membongkar’ atau ekskavasi, ialah penggalian ilmu yang dilakukan melalui penyelidikan terhadap batu bersurat dan manuskrip lama yang terabai akibat keruntuhan tamadun atas banyak faktor termasuk diambil alih ilmu penjajah atau Barat.

Antara batu bersurat yang mengandungi ilmu sains dan matematik yang disebut Shaharir ialah batu bersurat tertua bertulisan bahasa Melayu kuno sebelum abad ke-12 bertarikh sekitar 400 Masihi.

“Batu bersurat ini amat terkenal, tetapi sangat jarang dirujuk dalam buku sejarah bahasa Melayu berbanding batu bersurat di Kedukan Bukit bertarikh 603 syaka,” katanya.

Angkat pengajian Melayu

Sementara itu, Awang berkata, usaha pemeribumian Sains dan Matematik yang dilakukan Shaharir dapat mengangkat dunia pengajian Melayu.

Katanya, gagasan pemeribumian ilmu dalam tamadun Melayu adalah satu subdisiplin baharu yang patut diperkenalkan di universiti di negara ini memandangkan agenda memperibumi ilmu dalam tamadun ialah satu fitrah dan sunatullah.

“Kita tidak mementang soal kesejagatan tetapi perlu ada usaha memperibumi ilmu sesuai dengan ciri dan sifat tamadun setempat dan tamadun Melayu,” katanya.

Berita Harian X