Khamis, 15 November 2018 | 6:57pm
Novel sasterawan besar Russia, Fyodor Dostoyevsky. The Brothers Karamazov yang diharamkan pihak berkuasa Kuwait.

Novel sastera Russia, antara diharamkan di Kuwait

BANDAR RAYA KUWAIT: The Brothers Karamazov, novel sasterawan besar Russia, Fyodor Dostoyevsky yang diterbitkan pada abad ke-19, menjadi judul terbaru diharamkan pihak berkuasa Kuwait menjelang Festival Sastera Antarabangsa Kuwait yang bermula semalam.

Pengelola Festival Sastera Antarabangsa Kuwait, Saad al-Anzi berkata Kementerian Penerangan Kuwait mengharamkan 948 judul buku termasuk The Brothers Karamazov, iaitu novel yang mengisahkan isu moral, kehidupan bebas dan kewujudan Tuhan.

Selain Kuwait, karya Dostoyevsky sebelum ini kerap diharamkan di beberapa negara Teluk yang memperlihatkan trend konservatif konservatif dalam politik dan masyarakat semakin meningkat.

Sejak lima tahun lalu, Kementerian Penerangan Kuwait sudah mengharamkan lebih 4,000 buku. Antaranya termasuklah The Bunch of Notre-Dame dan One Hundred Years of Solitude masing-masing tulisan Victor Hugo dan Gabriel Garcia Marquez.

Sementara itu, semua judul yang dipamerkan pada Festival Sastera Antarabangsa Kuwait sudah terlebih dahulu terikat dengan Undang-Undang Tahun 2006 membabitkan ‘akhbar dan penerbitan.’

Peraturan itu menggariskan senarai kesalahan yang boleh disabitkan hukuman kepada pengarang sastera dan wartawan.

Kesalahan itu termasuklah menghina Islam atau kehakiman Kuwait, mengancam keselamatan negara, mencetus kekacauan, menghasut serta melakukan tindakan tidak bermoral.

September lalu, aktivis hak asasi manusia sudah membuat dua kali demonstrasi jalanan membantah penangkapan yang semakin meningkat.

Pada dekad 1970-an dan 1980-an, Kuwait menjadi hub penerbitan serantau, rumah kepada jurnal kitab tinggi Arab Al-Arabi dan rangkaian buku sains serta sastera yang popular.

Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, pejuang konservatif agama dan pemimpin puak menduduki kerusi di Parlimen dilihat banyak mengubah aliran pemikiran masyarakat. Bagaimanapun, Kuwait ialah satu-satunya negara Teluk dengan ahli parlimen yang dipilih. - AFP

Berita Harian X