Khamis, 15 November 2018 | 9:52am
TUN Juhar Mahiruddin menyampaikan hadiah sastera kepada salah seorang penerima pada Majlis penyampaian hadiah yang disampai di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara ( JKKN ) Sabah. NSTP/Rafiqah Dahali

6 guru raih Hadiah Sastera Sabah

KOTA KINABALU: Enam guru adalah antara penerima anugerah Hadiah Sastera Sabah 2016/2017 masing-masing dalam kategori Cerpen Eceran dan Puisi Eceren.

Bagi penerima hadiah kategori puisi eceran daripada guru diterima Marmoh Kasman menerusi puisi bertajuk ‘Kembali’, Raymond Majumah (Emas Ingatan); Jamail Masador (Bersamamu Meranting Rindu) dan Noor Aisyah Maidin (Memeluk Dunia).

Sementara itu, penerima hadiah kategori cerpen eceran daripada guru pula ialah Witer Gunik menerusi cerpen ‘Apung’ dan Noraini Osman dengan cerpennya ‘Lepa’.

Witer Gunik turut menjadi satu-satunya penerima hadiah bagi kategori kumpulan cerpen ‘Mencari Bayang Adelaide’.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir isterinya, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan serta Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah, Asmiah Ajamain.

Dalam pada itu, sebanyak 24 karya sastera layak menerima Hadiah Sastera Sabah 2016/2017 dengan enam kategori iaitu Puisi Eceran, Cerpen Eceran, Novel Remaja, Novel Dewasa, Kumpulan Cerpen dan Kumpulan Puisi dengan RM26,500 hadiah wang tunai secara keseluruhannya.

Tiga buku umum turut menerima Hadiah Galakan penulisan Buku Umum Dewan Bahasa dan Pustaka - Yayasan Sabah 2018 iaitu Angin Perubahan: Memperkasakan Sastera Melayu Sabah (Datuk Jasni Matlani) dan Busana Etnik Suang Lotud Sabah (Salbiah Kindoyop dan Prof Madya Dr Humin Jusilin).

Turut menerima hadiah ialah buku bertajuk Kehidupan dan Pengebumian Murut Tangala (Dr Ishak Johari, Juhirin Kantis, Mathew Dusun, Simon Sabut, Jupilin Gilau, Pailin Jani, Lim Ji Pun dan Ramlan Menga).

Terdahulu, Asmiah berharap pengiktirafan kepada penerima Hadiah Sastera Sabah 2016/2017 akan mendorong penulis di negeri ini untuk terus berkarya.

“Diharapkan Hadiah Sastera Sabah ini memberi galakan kepada penulis Sabah ke arah pengembangan kesusasteraan di negeri ini di samping menghasilkan karya sastera bermutu tinggi.

“Pada tahun ini juga diadakan penyampaian Hadiah Galakan Penulisan Buku Umum DBP - Yayasan Sabah kepada penulis agar terus menghasilkan buku umum berkaitan kearifan tempatan, sejarah, budaya dan adat resam masyarakat Sabah,” katanya.

Berita Harian X