Rabu, 7 November 2018 | 10:18am
DR Maszlee melancarkan buku-buku Malaysia yang diterjemahkan ke Bahasa Jepun, di Kinokuniya Shinjuku, Tokyo. - Ihsan Twitter Dr Maszlee
DR Maszlee melancarkan buku-buku Malaysia yang diterjemahkan ke Bahasa Jepun, di Kinokuniya Shinjuku, Tokyo. - Ihsan Twitter Dr Maszlee

Buku Malaysia masuk Kinokuniya di Jepun

PUTRAJAYA: Lima buku terbitan Malaysia dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di Kinokuniya Shinjuku, Tokyo.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, judul buku yang dilancarkan ialah Islamic Finance Fundamentals With Applications in Malaysia, The Basics of Islamic Finance With Applications in Malaysia, Hang Tuah: Catatan Okinawa, Halal: All That You Need To Know dan Beautiful Malaysia.

Maszlee yang kini berada di Tokyo kerana mengiringi lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke negara matahari terbit berkata, pelancaran lima judul itu menjadi permulaan kepada lebih banyak lagi projek terjemahan dan penerbitan buku Malaysia ke bahasa Jepun.

“Usaha terjemahan dan penerbitan buku ini penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya.

Kenyataan itu berkata, perkara itu bertepatan dengan kempen Dekad Membaca Kebangsaan yang digerakkan Kementerian Pendidikan dan KLBACA! iaitu kempen Kuala Lumpur ke arah Kota Buku Dunia 2020.

Katanya, usaha itu inisiatif kerjasama antara Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Japan Malaysia Association (JMA) dengan sokongan tiga universiti awam (UA), iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Yang turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Presiden Kinokuniya Co. Ltd. Masashi Takai dan Pengarah Eksekutif JMA, Takakazu Ogawa.

“Kementerian Pendidikan akan meneruskan usaha untuk memastikan aktiviti penterjemahan bergiat lebih aktif termasuk terjemahan buku dalam bahasa Melayu ke bahasa asing serta daripada bahasa asing ke bahasa Melayu.

“Ini akan meningkatkan ekonomi penterjemahan. Pada masa sama akan ada pemindahan pengetahuan dalam bidang penterjemahan yang penting supaya semua kajian kita dirujuk termasuk karya universiti tempatan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, pada majlis pelancaran itu juga, memorandum persefahaman (MoU) turut ditandatangani antara ITBM, JMA dan Kinokuniya Jepun bagi pengedaran buku terbitan ITBM serta JMA di kedai buku terpilih Kinokuniya di Jepun.

Melalui MoU itu, buku hasil kerjasama ITBM dan JMA boleh didapati di pasaran Jepun, sekali gus menyebar luas karya penerbitan Malaysia pada peringkat antarabangsa. – BERNAMA

181 dibaca
Berita Harian X