Rabu, 7 November 2018 | 7:07am
LAPORAN BH pada 1 November lalu.

ITBM nafi terima dana RM100 juta

KUALA LUMPUR: Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) menafikan dakwaan agensi itu menerima dana RM100 juta daripada kerajaan untuk tempoh enam tahun lalu.

ITBM dalam kenyataan medianya semalam berkata, dakwaan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) institut itu menerima sejumlah dana terbabit adalah tidak tepat dan jelas sekali menunjukkan ketidakpedulian beliau terhadap situasi perbukuan di negara ini.

“Dakwaan seperti ini tidak akan timbul sekiranya Ishak melakukan semakan daripada sumber sahih bagi mengelak kesilapan fakta yang boleh menimbulkan ketidaksenangan beberapa pihak.

“Tambahan lagi, ITBM yang juga agensi di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, Kementerian Kewangan dan diselia Kementerian Pendidikan, turut menganggotai persatuan yang diterajui Ishak,” kata kenyataan itu.

Tak disebut jumlah dana

Ishak dalam artikel Sasar 5 tahun buku Malaysia fokus dunia yang disiarkan BH, Khamis lalu, menyebut ITBM dan Perbadanan Kota Buku (PKB) menerima dana dan projek bagi pembangunan buku tidak kurang RM100 juta.

Dalam komentarnya Ishak berkata, kedua-dua agensi itu masih memerlukan dana baharu jika mahu terus beroperasi dalam masa industri buku terus terjejas.

ITBM dalam kenyataannya bagaimanapun tidak menyebut jum- lah dana yang diterima agensi itu sejak enam tahun lalu.

ITBM berkata, sebagai badan penterjemah dan penerbit buku, ITBM yang ditubuhkan sejak 1993 dengan modal RM29 juta, melaksanakan perniagaannya melalui urus niaga dengan beberapa sektor, selain turut didukung kelangsungannya oleh Kementerian Pendidikan melalui pembelian buku yang diedarkan ke sekolah sebagai bahan bacaan tambahan.

Menurut kenyataan itu, keyakinan tinggi kerajaan lebih terserlah pada 2011 apabila badan itu yang awalnya dikenali sebagai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dinaik taraf kepada ITBM, sekali gus membolehkan ia mengusahakan penerbitan buku karya asli.

Kualiti isi kandungan

“Keyakinan sama turut ditunjukkan pihak antarabangsa yang melantik ITBM menjadi ketua penyelaras penerbit semasa Malaysia dipilih sebagai Negara Tamu Kehormat di Pesta Buku Antarabangsa Tokyo 2014; Pesta Buku Antarabangsa Indonesia 2016 dan Pesta Buku Antarabangsa Riyadh 2017.

“Sebagai organisasi yang tidak menerima peruntukan tetap daripada kerajaan bagi menampung penggajian, produksi dan pentadbiran, penjualan buku kepada agensi kerajaan antara tugasan bagi menjana perolehan pendapatan.

“Namun, kualiti isi kandungan dan cetakan buku terbitan ITBM tidak langsung dikompromi, malah semua buku ITBM melalui proses penilaian ketat dan memperoleh perakuan piawaian berkualiti daripada Kementerian Pendidikan,” katanya.

18 dibaca
Berita Harian X