Isnin, 5 November 2018 | 1:43pm
KETUA Pegawai Eksekutif Lejen Press, Aisamuddin Asri.
PENGARAH Penerbitan The Patriots, Syazrul Aqram.

Penerbit kecewa Belanjawan 2019 tidak fokus buku

KUALA LUMPUR: Pengumuman Belanjawan 2019 Jumaat lalu, melanjutkan kekecewaan pemain industri buku tanah air sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila tidak langsung menyebut suntikan dana khusus untuk industri itu.

Paling menyedihkan, kelemahan sokongan kerajaan itu dipamerkan ketika sepatutnya usaha berganda mula dipacu untuk memfokus pembangunan masyarakat melalui pengetahuan dan pembacaan sesuai penobatan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ketua Pegawai Eksekutif Lejen Press, Aisamuddin Asri, berkata ketiadaan pendanaan melalui Belanjawan 2019 menunjukkan kerajaan memandang sepi pengiktirafan terhadap Kuala Lumpur yang diberikan UNESCO itu.

“Saya asalnya optimis dengan kerajaan baharu kerana melihat mereka menunjukkan minat membawa industri buku ke hadapan tetapi dikecewakan apabila nampaknya tidak ada langsung perhatian dan pendanaan khusus kepada industri buku dalam Belanjawan 2019.

“Kerajaan tentunya akan memberi alasan kurang dana selepas mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan terdahulu tetapi sumbangan industri buku sangat signifikan dalam meningkatkan pengetahuan masyarakat, sekali gus memerlukan pendanaan yang diberikan juga setara dengan peranannya.

“Bagaimanapun nampaknya hal ini tidak dipandang kerajaan kerana jika tidak, sudah tentu pengisian Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 menjadi satu ‘gesaan’ untuk menyuntik dana yang bersesuaian untuk industri buku tetapi ia tidak berlaku,” katanya kepada Sastera & Budaya di sini.

Aisamuddin berkata, penerbit tidak berupaya bergerak sendiri dalam keadaan ekosistem buku yang kurang memberangsangkan dan kesannya beberapa tahun ini melihat banyak penerbitan kecil terpaksa ditutup, selain penerbitan besar tidak terlepas daripada ‘sakit’.

Tambah mengesankan, kata Aisamuddin, apabila syarikat itu turut terseret dalam tunggakan pembayaran oleh Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) bernilai RM75,000 yang menyebabkannya tidak berupaya membayar royalti kepada penulis.

Katanya, usaha untuk menumbuhkan industri ini memerlukan langkah bersepadu yang mesti didukung dan disokong oleh kerajaan.

“Meskipun banyak rungutan mengenai peruntukan belanjawan oleh kerajaan terdahulu yang dikurangkan sedikit demi sedikit termasuk melalui pelaksanaan Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia (KADS1M), sekurang-kurangnya industri buku masih juga diberi tumpuan pada ketika itu.

“Bagaimanapun setakat ini saya masih tidak melihat lagi usaha kerajaan baharu dalam membantu dan menggerakkan industri buku tanah air,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penerbitan The Patriots, Syazrul Aqram, berkata gabungan ketiadaan pendanaan daripada kerajaan dan jangkaan berlakunya kegawatan ekonomi tahun hadapan memerlukan penerbit tanah air untuk lebih bersedia mendepani cabaran dunia buku.

“Kegawatan ekonomi akan menyebabkan kuasa membeli pembaca berkurangan yang menjadi kerisauan kami sebagai penerbit.

“Bagi menghadapi keadaan ini, penerbit perlu bersedia memasang strategi, sekali gus memastikan daya hidup mereka dalam ekonomi buku yang tidak menentu kini.

“Paling utama, penerbit perlu kekal positif terutama dalam memastikan tanggungjawab menyediakan bahan bacaan untuk masyarakat dapat diteruskan,” katanya.

Mengakui terkilan dengan ketiadaan peruntukan untuk industri ini menjelang penobatan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia 2020, Syazrul berkata, hal ini berlaku mungkin kerana kerajaan melihat ada perkara lebih utama untuk didahulukan berbanding hal industri buku.

“Sekiranya suntikan pendanaan diberikan kerajaan, kita boleh menggunakannya bagi melaksanakan pelbagai acara berkaitan pembacaan dan sastera.

“Penting untuk kerajaan merangsang ekonomi buku kerana itu yang tidak kita miliki kini,” katanya.

77 dibaca
Berita Harian X