Rabu, 5 September 2018 | 11:31am
KETUA Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim (tengah) dan Pengarah YWJ, Mohd Shahrin Rahmat (empat dari kanan) bergambar bersama kakitangan YWH pada Pameran Cerita Rakyat: Kisah Leluhur Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor (YWJ), Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini
PAMERAN Cerita Rakyat: Kisah Leluhur Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor (YWJ), Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Lukisan grafiti cerita rakyat dalam Pameran Leluhur Johor

JOHOR BAHRU: Usaha ‘merakyatkan’ cerita rakyat dalam medium seni seperti grafiti dapat menarik perhatian masyarakat khususnya generasi muda, sekali gus memelihara kelestarian warisan bangsa dan negara.

Pameran Cerita Rakyat: Kisah Leluhur Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor (YWJ) di sini, menjadi antara platform menggabungkan dua bidang seni, warisan dan visual yang dapat dihidangkan kepada masyarakat umum.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim, berkata karya seni yang boleh dilihat daripada sudut sejarah dan seni visual menunjukkan perkembangan kemahiran manusia dalam mendokumentasikan maklumat dan menghasilkan karya di dinding seperti grafiti.

Katanya, walaupun pendekatan dan teknik yang digunakan berbeza mengikut perubahan semasa, usaha memartabatkan kesenian itu perlu dipuji supaya penggiat seni grafiti khususnya lebih berminat menghasilkan karya grafiti yang lebih signifikan dengan adat dan budaya di setiap negeri.

“Bagi memperluas pengetahuan dan pemahaman masyarakat berkaitan cerita rakyat ini, ia tidak hanya melalui pameran sebaliknya dikembangkan kepada pertandingan bicara berirama, bercerita, melukis atau animasi supaya masyarakat lebih menghargai warisan sastera lisan dan cerita rakyat.

“Sebagai langkah proaktif, pelbagai aktiviti dan pendedahan boleh dilaksanakan termasuk bengkel atau seminar berkisarkan cerita rakyat supaya dapat dikomersialkan seperti persembahan serta muzik dengan adunan, selain pendekatan terkini supaya lebih mudah diterima oleh golongan muda.

“Selain itu, dalam bentuk penulisan juga dapat dilaksanakan supaya mampu membongkar makna tersurat dan tersirat yang terkandung dalam cerita rakyat yang hasilnya boleh dibukukan supaya menjadi sumber rujukan pada masa akan datang,” katanya di sini.

Kamarul Baharin berkata, pihaknya berharap usaha itu akan menjadi wadah dalam memastikan kelangsungan budaya dan tradisi terus diwarisi menerusi cerita rakyat termasuk dihayati, dibudayakan, dikembangkan dan dijiwai dengan bangga.

Pameran Cerita Rakyat: Kisah Leluhur Johor yang berlangsung selama tiga bulan anjuran kerajaan negeri menerusi YWJ itu memaparkan 12 kisah rakyat yang diilustrasikan dalam bentuk seni visual dan teknik grafiti termasuk kisah Si Bongkok Tanjung Puteri, Si Badang, Puteri Gunung Banang dan Puteri Bunian Kampung Bumbun.

Sementara itu, Pengarah YWJ, Mohd Shahrin Rahmat, berkata kebudayaan dan warisan perlu dikekal serta dikembangkan demi kesinambungan tamadun bangsa, namun kemajuan dan teknologi yang dipelajari perlu selari dengan mengenali sahsiah serta budaya tradisional.

Katanya, apabila mengetahui dengan lebih akrab sahsiah dan susur galur diri, maka benteng jati diri bangsa akan lebih kukuh, seterusnya masyarakat khasnya generasi muda tidak akan mudah terpengaruh dengan anasir luar.

“Sebagai agensi yang menyelidik, mendokumentasi dan mempamerkan koleksi di muzium serta galeri, YWJ sentiasa berusaha memberikan maklumat dan ilmu pengetahuan kepada semua lapisan masyarakat.

“Cerita rakyat berasal daripada masyarakat dan berkembang dalam masyarakat pada masa lampau, ia menjadi ciri khas kepada setiap bangsa yang mempunyai budaya beraneka ragam mahupun mengisahkan sesuatu kejadian.

“Seni grafiti mempunyai kelebihan tersendiri dalam menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk mengenal dunia seni, selain gabungan cerita rakyat ini diharap dapat memberi kelainan kepada masyarakat untuk meminati seni dan warisan pada satu masa,” katanya.

Mohd Shahrin berkata, sempena program Jom Melawat Muzium 2018, sebanyak lapan pameran sementara, tiga program gabungan ilmiah, program bermalam di muzium dan program pembangunan ilmu seni visual serta seni khat akan diadakan.

Katanya, inisiatif itu bertujuan memupuk minat masyarakat terhadap bidang kesenian dan warisan budaya di negeri ini.

Berita Harian X