Jumaat, 3 Ogos 2018 | 4:41pm
PENGARANG Russia paling berpengaruh, Alexander Solzhenitsyn. - Foto AFP

Generasi muda Russia tidak kenal sasterawan sendiri

MOSCOW: Sedekad selepas kematian pengarang Russia paling berpengaruh, Alexander Solzhenitsyn, ada di kalangan generasi muda negara itu mengakui mereka hanya mengetahui sedikit mengenai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan yang menang kerana mengangkat kisah Soviet Gulag yang mengerikan itu.

Pelajar bidang perhubungan antarabangsa, Alexander Polyakovsky, 23, menyimpulkan Solzhenitsyn sebagai pembangkang yang menentang regim Soviet dan pengarang hebat tetapi mengakui tidak pernah membaca karya pengarang itu.

"Kisahnya ada dibincangkan sedikit ketika saya di sekolah menengah ketika mata pelajaran sastera Russia tetapi tidak banyak yang dapat saya ingat.

"Bagaimanapun ibu saya menjelaskan bahawa beliau antara pengarang agung pada abad ke-20," katanya.

Ia berbeza dengan ibunya, Yelena yang berkongsi bagaimana beliau menemui salah satu karya Solzhenitsyn yang tersembunyi di sebalik koleksi buku keluarganya pada era Soviet.

"Saya ketika itu masih remaja dan ibu bapa bersungguh-sungguh melarang saya daripada memberitahu kepada sesiapapun mengenai buku yang kami ada di rumah itu. Ia ibarat buah terlarang.

"Era itu sangat berlainan hingga sukar untuk anak saya membayangkannya," katanya.

Solzhenitsyn, yang meninggal dunia pada 3 Ogos 2008 pada usia 89 itu, mencatat nama dalam kesusasteraan USSR melalui novel pendeknya pada 1962 yang menjadi karya pertama dalam sastera Soviet yang menceritakan kehidupan harian dalam kem tahanan, iaitu One Day in the Life of Ivan Denisovich.

Novel itu berdasarkan pengalamanny asendiri dipenjara selama tujuh tahun kerana mengkritik Stalin.

Buku Solzhenitsyn yang paling banyak dibaca, The Gulag Archipelago, iaitu karya berbentuk babad panjang mengenai keganasan Soviet, dijual jutaan naskhah selepas diseludup keluar dan diterbitkan di Paris pada 1973.

Solzhenitsyn dibuang negara oleh pihak berkuasa Soviet selepas itu dan hidup dalam buangan selama 20 tahun di Amerika Syarikat (AS) sebelum kembali sebagai pemenang ke Russia pada 1994.

Sementara itu, Alexander Altunyan yang mengajar kewartawanan di Universiti Antarabangsa Moscow mengakui generasi muda kurang berminat dengan karya bersejarah Solzhenitsyn dan novel realisme seperti Cancer Ward.

"Daripada 30 pelajar dalam kelas, tidak lebih dua atau tiga orang saja yang pernah membaca satu karya Solzhenitsyn. Sebahagian besar daripada mereka tidak pun tahu mengenai pengarang itu," katanya.

Guru sekolah mengakui mereka terpaksa membuat pilihan buku dalam kurikulum untuk mata pelajaran sastera dan sebahagiannya hanya mendapat masa yang sedikit.

Bagaimanapun ada yang memberi tumpuan pada karya Solzhenitsyn kerana moral dan pandangan politiknya masih relevan.

Guru bahasa dan sastera Russia, Olga Mayevskaya, berkata beliau memperuntukkan beberapa masa untuk karya Solzhenitsyn termasuk One Day in the Life of Ivan Denisovich dan Gulag Archipelago.

"Saya berkongsi petikan yang paling kuat dalam Gulag Archipelago dengan pelajar saya. Apa yang paling mengejutkan adalah mereka mendakwa hal sebegitu tidak diceritakan dalam mata pelajaran Sejarah.

"Ini ialah sejarah negara kita. Mereka perlu mengetahuinya supaya ia tidak berlaku lagi.

"Kita sebenarnya sangat perlu membaca karya Solzhenitsyn kerana semakin banyak cubaan untuk menafikan wujudnya penindasan pada era Stalin apabila ada yang berkata tiada apa-apa yang dahsyat berlaku," katanya.

Mutakhir ini, Russia menyaksikan kecenderungan kuat dalam menampilkan Stalin secara positif, manakala sumber rasmi pula tidak memperbesar-besarkan penindasan dan pengkolektifan yang mengorbankan jutaan nyawa.

Bagaimanapun, Solzhenitsyn kekal menjadi permata berharga kepada ramai rakyat Russia.

Tahun lalu, tinjauan yang dilakukan agensi peninjau pendapat awam, VTsIOM terhadap idola Russia pada abad ke-20 meletakkan Solzhenitsyn pada tangga kelima di belakang tokoh seperti angkasawan Yuri Gagarin dan komander Perang Dunia Kedua, Georgy Zhukov.

Presiden Vladimir Putin, yang memetik Solzhenitsyn dalam ucapannya, mengarahkan sambutan rasmi diadakan untuk merayakan seratus tahun kelahiran pengarang itu pada Disember ini.

Patung Solzhenitsyn dirancang untuk diletakkan pada jalan di Moscow yang bakal dinamakan dengan nama pengarang terbabit.

Putin juga menganugerahkan anugerah negara setahun sebelum kematiannya, sekali gus menyaksikan Solzhenitsyn menyokong hala tuju Putin. - AFP

Berita Harian X