Isnin, 2 Oktober 2017 | 7:46pm
WARTAWAN menunggu permulaan sidang akhbar untuk mengumumkan pemenang Hadiah Nobel 2017 di Stockholm. - Foto AFP

Hadiah Nobel Kesusasteraan bakal tutup kontroversi Bob Dylan?

STOCKHOLM: Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan akan diumumkan oleh Akademi Sweden Khamis ini, sekali gus menutup buku pemilihan Bob Dylan pada tahun lalu yang mengejutkan dan diterima berbelah bahagi oleh dunia sastera.

"Akademi Sweden memutuskan untuk mengumumkan nama Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun ini pada jam 1 petang (9 malam waktu Malaysia)," katanya di laman webnya di sini, hari ini.

Pengumuman itu akan membolehkan 18 anggota Akademi Sweden meletakkan titik kepada kontroversi Dylan.

Ini kerana Dylan bukan saja menjadi penyanyi dan penulis lirik pertama yang memenangi anugerah berprestij itu, bahkan beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap kemenangannya untuk tempoh beberapa minggu serta tidak menghadiri majlis rasmi penganugerahan di sini, Disember lalu.

Pemilihan itu mencetuskan publisiti yang biasanya mahu dielakkan oleh Akademi Sweden.

"Kita tidak mengharapkan apa-apa yang sensasi pada tahun ini," kata pengkritik sastera akhbar Sweden Svenska Dagbladet, Clemens Poellinger.

Poellinger turut meramalkan Akademi Sweden akan membuat pilihan yang lebih konservatif.

Akademi Sweden sudah sinonim dengan method berahsia untuk mengelakkan sebarang kebocoran maklumat daripada menggunakan kod nama pengarang hinggalah kulit buku palsu ketika membacanya di tempat awam.

Spekulasi sentiasa bertiup kencang mengenai pemenang yang berpotensi menang dan sebahagian nama sentiasa diulang-ulang setiap tahun.

Antara mereka ialah Claudio Magris dari Itali; Ngugi wa Thiong'o (Kenya); Margaret Atwood (Kanada); Adonis (Syria); Philip Roth dan Don DeLillo (Amerika Syarikat); Amos Oz serta David Grossman (Israel); Ismail Kadare (Albania) dan Haruki Murakami (Jepun).

Calon baharu yang menguasai spekulasi pada tahun ini ialah novelis China, Yan Lianke.

Hadiah Nobel Kesusasteraan menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM4.7 juta (6 juta kronor) - AFP

Berita Harian X