Rabu, 16 Ogos 2017 | 2:25pm
Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim (tiga dari kiri) memukul gong sebagai simbolik perasmian Wacana naskah sastera tradisional Negeri Sembilan di Auditorium D'Sury Jabatan Kesenianan dan Kebudayaan Negeri Sembilan. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Perkasakan penyelidikan naskhah Melayu lama

SEREMBAN: Kajian terhadap naskhah Melayu lama perlu diperkasakan kerana ia warisan bangsa bernilai tinggi dan mengandungi pelbagai bidang ilmu yang boleh dimanfaatkan.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, berkata naskhah Melayu perlu difahami, dikaji, diamalkan dan diperturunkan kepada generasi sekarang serta masa depan.

"Ilmu yang terkandung di dalamnya perlu dimanfaatkan untuk memperkasakan tamadun Melayu sesuai dengan keperluan masa ini dan akan datang. Hasil kajian yang berwibawa terhadap naskhah itu dapat memperkaya khazanah ilmu sebagai bahan rujukan persuratan Melayu.


Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim (kanan) melawat ruang pameran sastera tradisional dan buku buku tradisional selepas merasmikan Wacana naskah sastera tradisional Negeri Sembilan di Auditorium D'Sury Jabatan Kesenianan dan Kebudayaan Negeri Sembilan. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

"Pendekatan terkini yang ditekankan dalam bidang penyelidikan naskhah adalah dengan meneliti kepentingan naskhah terbabit daripada aspek persejarahan, keintelektualan, kebudayaan dan epistemologi Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Wacana Naskhah Sastera Tradisional Negeri Sembilan di Auditorium D'Sury, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negara Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Majlis perasmian wacana itu disempurnakan Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim. Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dan Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Aziz Mohd Gorip.

Wacana kali ke-10 anjuran DBP dengan kerjasama LMNS itu bertujuan menghasilkan kajian dan dapatan baharu pelbagai bidang ilmu dan pemikiran termasuk agama, sejarah, sastera dan budaya yang dihasilkan oleh karyawan silam.


Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim (kanan) melawat ruang pameran sastera tradisional dan buku buku tradisional selepas merasmikan Wacana naskah sastera tradisional Negeri Sembilan di Auditorium D'Sury Jabatan Kesenianan dan Kebudayaan Negeri Sembilan. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Antara kertas kajian yang dibentangkan termasuk Asal Usul Penghulu Negeri Sembilan: Menjejaki Maklumat Asal Usul, Adat dan Hak Penghulu Negeri Sembilan daripada Sebuah Naskhah Melayu oleh Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali.

Selain itu, Undang-undang Sungai Ujung: Sebuah Karya Agung dari Negeri Sembilan oleh Prof Dr Jelani Harun dan Pentingnya Manuskrip Melayu Negeri Sembilan Sebagai Sumber Kajian Sejarah (Dr Muhammad Pauzi Abd Latif).

Kertas lain dibentangkan ialah Beraja ke Johor, Bertali ke Siak, Bertuam ke Minangkabau: Survival Masyarakat Minangkabau di Wilayah Cengkaman Bugis di Semenanjung Tanah Melayu Abad ke-17 hingga 19 (Mahdi Shuid) dan Linggi Gerbang Ketamadunan Negeri Sembilan (Mohd Khairi Hisham Mohd Ashaari).

Sementara itu, Rais dalam ucapannya berkata, walaupun dianggap kurang penting oleh banyak pihak, penganjuran acara sedemikian amat kritikal dalam memastikan tradisi, kebudayaan dan warisan bangsa terpelihara.

Berita Harian X