Ahad, 20 Oktober 2019 | 11:00am
PROSES penamaan dilakukan dalam talian membolehkan calon mendaftar secara ‘senyap-senyap’ terus ke pejabat pengurus RO. - Foto hiasan

Proses penamaan calon dalam talian lebih efisien

BARU-BARU ini, Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) antara lain mencadangkan proses penamaan calon dilakukan secara dalam talian bagi menjimatkan kos pada pilihan raya akan datang.

Tempoh pencalonan juga akan dipanjangkan sehingga seminggu berbanding satu jam ditetapkan sekarang. Menurut Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, peraturan baharu itu jika dilaksanakan kelak akan membolehkan calon mendaftar secara ‘senyap-senyap’ terus ke pejabat pegawai pengurus pilihan raya (RO) tanpa membabitkan sebarang perarakan seperti kelaziman dalam kebanyakan proses pilihan raya yang berlangsung di negara ini.

Saya sokong cadangan itu. Dalam urusan penamaan calon, yang penting dalam pelaksanaan proses itu ialah adil, bebas, telus, lancar, terkawal dan selamat. Proses penamaan calon cara itu juga dapat menjimatkan masa, wang dan tenaga.

Sebenarnya, proses penamaan calon dilakukan dalam talian adalah langkah betul dan sudah tiba masanya ia wajar dilaksanakan di negara ini. Langkah pelaksanaan proses itu bersesuaian dan selari kemajuan teknologi maklumat dan menjurus ke arah pelaksanaan seperti dilaksanakan di negara demokrasi maju di seluruh dunia.

Sejak dahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadang untuk melaksanakannya, tetapi parti politik ketika itu tidak begitu berminat, di samping wujud kemungkinan boleh berlaku masalah penyokong turut berkumpul mengiringi calon yang datang ke pejabat RO untuk buat pendaftaran.

Jika berlaku penyokong berkumpul, mungkin dapat dikurangkan kerana hari untuk membuat pendaftaran boleh dijarakkan pada tarikh atau waktu berbeza. Apapun, pihak polis tetap terbabit mengawal perjalanan bakal calon ke pejabat RO serta terbabit mengawal ketenteraman awam di kawasan sekitar pejabat RO.

Namun, yang jelas sistem penamaan akan membuatkan pihak polis tidak lagi bertugas mengawal keselamatan hanya satu hari (dari jam 7 pagi hingga 1 petang), tetapi perlu bertugas selama seminggu mengikut tempoh pendaftaran calon ditetapkan SPR.

Malah ketegangan dapat dikurangkan dan keselamatan awam terkawal.

Hakikatnya, sistem dan proses penamaan calon diamalkan sebelum ini boleh dianggap suatu keunikan di Malaysia. Proses itu dinanti-nantikan oleh rakyat seluruh negara baik pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK).

Tidak hanya dinanti oleh rakyat dalam kawasan pilihan raya yang terbabit, proses yang dinanti-nantikan itu secara langsung adalah satu promosi dan pendidikan kepada rakyat mengenai proses demokrasi sistem pelbagai parti yang membabitkan persaingan pelbagai parti untuk rakyat membuat pilihan.

Akan timbul kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat di kawasan, menunggu hari untuk menggunakan kuasa di peti undi.

Bagaimanapun, jika dibuat secara dalam talian, majoriti rakyat terpaksa bergantung kepada media untuk mengetahui siapa calon. Pendaftaran dalam talian juga menyebabkan kerja pegawai dan staf di pejabat RO bertambah.

Mereka akan terbabit dalam tempoh masa lebih lama, iaitu daripada urusan penamaan cuma satu hari seperti di bawah sistem sedia ada. Dalam konteks ini, sistem penamaan secara pendaftaran dalam talian sesuai kepada sistem pilihan Raya Perwakilan Berkadar (Propirtionate Representative), seperti diamalkan di kebanyakan negara demokrasi maju.

Di bawah sistem ini, rakyat selaku pengundi, ketika mengundi rakyat memilih nama parti bertanding. Mereka tidak memilih nama calon bagi kawasan yang berkenaan seperti diamalkan di negara kita.

Bagi sistem majoriti mudah pilihan mengikut kawasan, pengisytiharan nama calon yang bertanding sangat teruja dan dinanti-nantikan rakyat dalam kawasan. Jadi sistem pendaftaran dalam talian ada kelebihan dan kelemahan dalam konteks proses pilihan raya di negara ini.

Penulis adalah bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berita Harian X