Sabtu, 19 Oktober 2019 | 11:00am

Perubahan dasar perlu kajian mendalam

Kita berpendapat sebarang usaha untuk mengubah dasar, terutama membabitkan pelajar perlu dibuat secara teliti, tidak tergesa-gesa dan mengkehendaki kajian mendalam, bagi mengelak menimbulkan masalah kepada pihak sekolah dan guru selain masa depan pelajar itu sendiri.

Oleh itu, sekurang-kurangnya cadangan melaksanakan dasar tidak lagi membahagikan pelajar Tingkatan Empat mengikut aliran sains dan sastera mulai tahun depan, sepatutnya dibuat secara soft landing atau melalui projek perintis dengan memilih beberapa sekolah tertentu sebagai percubaan.


- Gambar hiasan

Apa yang perlu difikirkan ialah kesan jangka sederhana dan panjang. Misalnya, apakah dasar itu nanti tidak akan mengganggu proses penawaran kursus di peringkat universiti. Apakah nanti amat sukar bagi universiti untuk mendapatkan pelajar daripada aliran sains kerana sains terdiri daripada Fizik, Kimia, Biologi, Matematik dan Matematik Tambahan iaitu subjek yang mungkin tidak digemari sebahagian besar pelajar.

Malah, tidakkah ia nanti bercanggah dengan langkah Kementerian Pendidikan sendiri yang mahu menggalakkan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Semua ini perlu diteliti secara mendalam.

Sistem rel demi kemudahan orang ramai

Di negara maju, pengangkutan awam menggunakan sistem rel bukan sahaja popular malah membantu mengatasi masalah kesesakan di bandar besar selain ia lebih cepat, mesra pengguna serta lebih mesra alam.

Kita mengalu-alukan langkah kerajaan membuat kajian menyeluruh terhadap sistem rel negara ini, supaya ia digunakan sepenuhnya, termasuk menambah kemudahan sedia ada. Kerajaan juga mahu menjemput pihak swasta untuk mencadang, melabur dan menyewa landasan sedia ada iaitu satu idea yang amat baik.

Kita akui ketika ini, tahap penggunaan rel masih rendah di negara ini. Ini menyebabkan kenderaan berat dan persendirian memenuhi jalan raya hingga berlaku kesesakan serta kemalangan. Langkah itu akan turut membantu menjana ekonomi negara, terutama apabila membabitkan penyertaan sektor swasta untuk membuat pelaburan seperti berlaku di Jepun dan China.

Negara kita sudah mempunyai asas ke arah itu apabila diperkenalkan sistem aliran rel ringan, cuma ia perlu diperluaskan lagi di antara bandar serta sambungan rangkaian ke negara ASEAN lain seperti Singapura dan Thailand.

Berita Harian X