Selasa, 15 Oktober 2019 | 11:00am

Campur tangan politik cemari sektor awam

Apabila bercakap soal campur tangan politik, contoh paling mudah ialah kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Ia bukti jelas bagaimana unsur politik mempengaruhi pertimbangan pelaburan dan keputusan, sehingga ia dilabel antara skandal rasuah dan penyelewengan terbesar negara.

Itu baru satu, belum lagi dikira kes lain yang kebanyakan berlaku ketika era pentadbiran kerajaan terdahulu. Contohnya, membabitkan kepincangan tadbir urus FELDA dan Lembaga Tabung Haji. Tidak terkecuali soal perolehan, kontrak atau tender kerajaan yang banyak dipengaruhi menteri sebagai ahli politik.

Yang jelas, impak campur tangan politik ke atas pentadbiran dan kewangan negara, cukup besar dan negara serta rakyat tidak mahu lagi melihat sikap campur tangan berlebihan oleh kuasa politik terus-menerus mencemari imej serta kredibiliti sektor awam. Lebih teruk, pertimbangan politik yang tidak selari undang-undang, berisiko meruntuhkan institusi.

Dalam hal ini kita setuju kebimbangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), lantas langkah serius perlu diambil untuk memastikan soal campur tangan politik tidak berulang sehingga mencemari pentadbiran kerajaan hari ini. Perlu diingat benteng integriti sebenarnya ialah pegawai kerajaan dan ia harus dijaga. Jika roboh nilai mereka ini, maka runtuhlah kewibawaan pentadbiran.


- Gambar hiasan/BERNAMA

Koordinasi jayakan WKB 2030

Sudah lebih seminggu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dilancarkan Perdana Menteri, sebagai hala tuju ekonomi negara untuk sedekad akan datang. Namun persoalannya, sejauh mana gagasan baharu itu disahut?

Jika dilihat, belum ada lagi mana-mana kementerian atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil menyuarakan cadangan terperinci masing-masing ke arah menjayakan matlamat yang digariskan melalui WKB 2020. Kita percaya langkah segera harus diambil semua pemain industri ke arah itu.

Dalam hal ini, setiap kementerian dan GLC harus tampil menceritakan perancangan khusus mereka untuk WKB 2030. Ini penting untuk membuktikan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, tidak bersendirian dalam menjayakan tiga objektif WKB 2030 meliputi pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan, serta negara yang bersatu, makmur dan bermaruah.

Perlu diingat, kegagalan Wawasan 2020 mencapai matlamatnya disebabkan tiadanya koordinasi tindakan sehingga menyebabkan hala tujunya lari dari landasan sebenar. Apakah kita juga mahu melihat WKB 2030 menerima nasib sama?

Berita Harian X