Khamis, 10 Oktober 2019 | 11:00am

Jangan biar industri penerbangan kita ketinggalan

Setelah beberapa minggu rundingan dijalankan, Khazanah Nasional Bhd akhirnya dijangka memuktamadkan rakan strategik Malaysia Airlines Bhd menjelang akhir tahun ini. Difahamkan, sayap pelaburan kerajaan itu menerima cadangan daripada lebih 20 pihak untuk mengambil alih syarikat penerbangan negara yang bermasalah itu.

Sama ada Malaysia Airlines kekal milik penuh Khazanah atau mempunyai rakan strategik adalah satu persoalan yang amat penting bagi masa depan industri penerbangan negara. Kita sudah banyak ketinggalan berbanding negara tetangga dalam industri penerbangan.

Bukan hanya kepada Singapura tetapi juga kepada Indonesia, Thailand dan mungkin juga selepas ini Vietnam. Bukan itu saja, lapangan terbang kita juga berdepan dengan persaingan semakin sengit dari negara jiran.

Jika Malaysia Airlines dapat maju semula, industri penerbangan negara termasuk sektor lapangan terbang akan dapat tempiasnya. Jadi kita berharap keputusan yang bakal dibuat bukanlah sekadar melihat kepentingan khazanah sahaja tetapi juga industri penerbangan negara secara keseluruhan.

Tak sesuai kerjasama dengan UMNO-PAS

Kerjasama Barisan Nasional (BN) - PAS sebenarnya tidak sesuai dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama. Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, mungkin tahu jawapan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila melontar cadangan BERSATU menubuhkan kerajaan dengan BN, PAS dan parti dari Sabah dan Sarawak.

Bagi Mohamad Hasan dan rakan-rakannya dalam UMNO dan PAS, niat mereka hanyalah untuk mendapat semula kuasa. Selepas dapat kuasa katanya nak menegakkan kedudukan Melayu dan agama Islam.

Sebelum ini mereka berkuasa lebih 60 tahun, kenapa tak buat. Sebenarnya kedudukan Melayu dan agama tak terjejas pun sebab dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Niat Pakatan Harapan menubuh kerajaan pula jelas iaitu untuk membangunkan semula negara.

Wawasan kerajaan baharu sudah disusun, terpulang kepada rakyat, orang Melayu terutama untuk menyambutnya dengan positif. Tanpa UMNO dan PAS, tidak semestinya penyatuan ummah tiada, sebab bukan dua parti ini sahaja yang mewakili suara orang Melayu.

Berita Harian X