Rabu, 4 September 2019 | 1:09pm
KETUA Polis Negara (KPN) yang baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador. - Foto Eizairi shamsudin

Hormati peranan polis, bukan kutuk kesilapan

Tugas dan peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) cukup luas. Dalam istilah mudah, tugas mereka bermula daripada daftar kelahiran (suatu ketika dulu dikendalikan PDRM) hinggalah daftar kematian. Malah, urusan menggali semula kubur bagi meneruskan penyiasatan juga membabitkan PDRM.

Malangnya, masyarakat kita agak susah mengucapkan terima kasih kepada PDRM, sebaliknya ramai mencari jalan dan peluang mengkritik mereka.

Dewasa ini, isu lambakan laporan polis berhubung kes politik sedikit sebanyak menyebabkan kerja polis bertambah. Sikap masyarakat termasuk ahli politik sendiri yang suka memberi tekanan, mencemuh, mencerca, memfitnah dan mempersendakan pasukan polis sangat tidak adil buat mereka.

Polis cenderung terus ‘dihukum’ apabila membuat sesuatu kesilapan atau mengambil tindakan yang tidak menyebelahi kepentingan mereka. Yang peliknya ‘kejayaan’ polis diukur dari sudut kesilapan dilakukan ketika menjalankan tugas.

Persepsi negatif masyarakat terhadap polis sering berlaku apabila mereka melaksanakan pemeriksaan ke atas kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas, dengan aktiviti rasuah.

Melabelkan kesalahan orang lain tanpa usul periksa adalah satu wabak penyakit masyarakat zaman ini. Hanya kerana gejala ini, imej pasukan dan perasaan ahli keluarga mereka turut tercalar.

Kenyataan dikeluarkan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, menyatakan hanya satu peratus daripada kira-kira 100,000 anggota PDRM terbabit gejala rasuah.

Jika dikira sudah tentu semakin ramai jumlah anggota, kebarangkalian untuk menimbulkan masalah tetap ada. Apa yang dikesalkan, masyarakat tetap menganggap gejala ini seperti sinonim dengan pasukan polis.

Anggapan seperti ini tidak sepatutnya ditujukan kepada PDRM kerana pasukan itu sendiri sudah berusaha memastikan budaya sifar rasuah dalam warganya.

Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, memberi amaran bahawa tahun ini dijangkakan lebih ramai anggota dan pegawai polis ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah jika mereka tidak segera insaf.

Katanya beliau sudah banyak kali menasihat dan memberi amaran kepada pasukan agar menjayakan misi menghapuskan budaya rasuah, namun ramai masih berdegil. Beliau tidak akan berkompromi dalam kes sebegini dan akan memastikan mereka menerima hukuman setimpal.

Beliau juga secara telus membongkar bahawa lebih 100 anggota polis dikesan positif dadah menerusi ‘Op Blue Devil’ yang dijalankan di setiap kontinjen baru-baru ini. Ia keberanian luar biasa. Ketegasan KPN ini akan menaikkan imej dan kepercayaan rakyat terhadap PDRM.

Jika kita sedari, apabila berlaku sesuatu kes, polis antara pasukan keselamatan yang sedia memberikan khidmat tanpa mengira tempat, masa, cuaca dan risiko, lambakan kerja, demi melaksanakan tugas dipertanggungjawabkan di sepanjang perkhidmatannya.

Tekanan dihadapi PDRM amat tinggi dan impaknya ke atas diri mereka sendiri buruk termasuk kemurungan, perceraian, malah ada yang membunuh diri.

Kerajaan sepatutnya berlaku lebih adil terhadap PDRM berhubung gaji dan perihal kebajikan anggota pangkat rendah pasukan. Kenaikan gaji anggota rendah dapat membantu mengurangkan rasuah kerana ada perbezaan besar antara pendapatan dan kuasa diberikan kepada mereka.

Purata gaji anggota polis antara RM1,014 hingga RM3,517 masih rendah menyebabkan mereka sukar hidup di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Ini berbeza negara lain yang pesat membangun. Pendapatan anggota polis di negara luar rata-ratanya antara tertinggi dalam sektor keselamatan. Ia susulan pengiktirafan diberikan kepada pasukan itu dalam memastikan keamanan dan keselamatan.

Jika dibuat perbandingan, gaji Ketua Polis Daerah di negara ini lebih rendah berbanding pengetua sekolah menengah, sedangkan penugasan mereka yang membahayakan nyawa, bebanan kerja, tekanan dan risiko tugas adalah lebih berat.

Di Hong Kong dan Singapura, selain gaji lumayan, kerajaan memberi keistimewaan dan diskaun kepada pegawai polis dalam pembelian rumah dan lain-lain.

Elok jika pembentangan belanjawan kali ini atau di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 memberi lebih peruntukan kepada PDRM, terutama untuk pembinaan kuarters, penyelenggaraan balai polis dan kuarters serta dalam menjaga kebajikan anggotanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata kerajaan melabelkan dadah sebagai satu ancaman dan musuh negara.

Justeru banyak langkah perlu dibuat kerajaan untuk membantu PDRM memerangi ancaman itu terutama sokongan teknologi bagi menghadapi sindiket dadah yang jauh lebih maju.

Isu lain dihadapi adalah ruang pejabat terhad, kekurangan peralatan, bajet terhad untuk membaiki dan menyelenggara kenderaan rasmi serta kelewatan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan khas.

Ciri-ciri pemimpin yang baik adalah berintegriti, ada merit, berani kerana benar (sukar dicari), telus dan amanah.

Lantas semua pegawai dan anggota perlu tunjuk contoh yang baik, berintegriti, tidak salah guna kuasa, mengelak terbabit jenayah serta perkara tidak beretika supaya PDRM dihormati, bukannya ditakuti seperti dinyatakan KPN baru-baru ini.

Penulis adalah Pemegang Kursi Profesor Jenayah dan Kriminologi di Institut Jenayah dan Kriminologi, HELP University.

226 dibaca
Berita Harian X