Jumaat, 30 Ogos 2019 | 11:00am

Perketat kawalan keselamatan sistem di KLIA

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu segera bukan sahaja mencari punca malah penyelesaian bagi jangka panjang gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berlaku sejak 21 Ogos lalu walaupun dikatakan semakin pulih.

Gangguan seperti ini tidak sepatutnya berlaku seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad kerana sistem sama turut digunakan di lapangan terbang lain tetapi tidak mengalami masalah seperti di KLIA, sekali gus turut merugikan wang ringgit selain ketidakselesaan penumpang terutama pelancong.


Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjalan lancar di waktu puncak pada 27 Ogos lalu. - Foto BERNAMA

Siasatan perlu dilakukan secara menyeluruh sama ada ia gangguan siber yang lazim berlaku dimana-mana sistem komputer atau wujud sabotaj dalam bentuk lain, yang memerlukan tindakan segera.

MAHB harus belajar daripada insiden ini dan pastikan ia tidak berulang. Jika benar ada unsur sabotaj, sistem keselamatan KLIA perlu diperketatkan sama ada meningkatkan ketahanan sistem daripada sebarang serangan seperti ‘Ransomware’ atau gangguan secara fisikal kepada sistem sedia ada.

Perkenal SOP pembekal makanan ke sekolah

Kementerian Pendidikan perlu mendapatkan input pakar pemakanan bagi memastikan makanan rutin setiap pagi sesuai dijadikan menu di sekolah bagi Program Sarapan Percuma (PSP) bagi menjamin ia sentiasa seimbang untuk memenuhi keperluan khasiat kanak-kanak.

Kadang kala makanan yang dihidangkan untuk murid terutama yang dijual di kantin sekolah atau gerai di luar pagar sekolah, didapati kurang sesuai hingga berlaku insiden seperti keracunan makanan. Contohnya, nasi lemak, nasi goreng dan mi perlu dilengkapi sumber protein seperti telur, serat dan sayuran, bukan sesuatu hidangan yang ‘kosong’.

Oleh itu, mana-mana pihak terutama kontraktor atau pembekal yang dilantik atau dipilih kementerian nanti perlu memastikan hidangan makanan yang seimbang untuk murid. Pihak kementerian pula boleh merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi set makanan yang wajib untuk dipatuhi pembekal.

Sarapan amat penting bagi memastikan murid dapat memberi tumpuan semasa sesi pembelajaran kerana kajian mendapati, ramai murid tidak mengambil sarapan disebabkan ibu bapa tidak sempat menyediakannya, terutama dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

243 dibaca
Berita Harian X