Khamis, 29 Ogos 2019 | 11:00am

Sistem 'kebal' mampu elak risiko serangan

Gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini yang didakwa membabitkan unsur khianat, perlu dilihat serius. Kita tidak mahu kekalutan sepanjang tiga hari gangguan di KLIA tempoh hari berulang.

Berbalik soal khianat, umum tahu pada era teknologi hari ini, risiko gangguan sistem bukan lagi perkara asing. Serangan ransomware semakin menjadi-jadi, malah ramai bersetuju akhir-akhir ini ia mengundang masalah cukup besar kepada komuniti bisnes dan juga konsumer. Di banyak lokasi seluruh dunia, sudah terbukti bukan sahaja lapangan terbang, malah sistem di hospital dan pejabat kerajaan serta swasta menjadi mangsa serangan khianat ini.


Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali seperti biasa pada 25 Ogos lalu selepas mengalami gangguan teknikal sejak beberapa hari lalu. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kita percaya kemungkinan ini tidak boleh dipandang sepi, termasuk dalam kes seperti di KLIA tempoh hari. Lantas, siasatan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk melalui jawatankuasa khas ditubuhkan perlu meneliti segenap aspek. Punca sebenar kegagalan Total Airport Management Systems (TAMS) perlu dikenal pasti.

Bagi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pula, jika benar gangguan tempoh hari disebabkan unsur khianat, langkah drastik perlu diambil untuk menaik taraf sistem keselamatan. Bukan sekadar MAHB, malah semua pihak kerajaan atau swasta perlu memastikan sistem masing-masing ‘kebal’ daripada risiko serangan.

Bantu PKS lonjak potensi bisnes

Inisiatif kerajaan menyediakan akses pembiayaan lebih luas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mampu membantu meletakkan sektor itu ke tahap lebih tinggi. Faktor modal sentiasa menjadi kekangan utama bagi PKS, malah tidak keterlaluan dikatakan kesukaran mendapatkan pembiayaan bersesuaian antara punca potensi usahawan sektor ini tersekat.

Banyak kita dengar usahawan PKS meminjam daripada ceti haram atau along untuk melebarkan bisnes. Puncanya kerana mereka ini gagal memenuhi syarat pembiayaan ditetapkan institusi kewangan berdaftar. Kita percaya hal ini tidak boleh dibiar berterusan.

Mungkin usahawan PKS terbabit tiada pilihan, namun kita tidak mahu amalan meminjam daripada along berterusan sehingga gagal menjelaskan bayaran balik disebabkan kadar bunga tinggi. Akhirnya, bisnes yang berpotensi dikembangkan, bertukar lingkup.

Memberi akses lebih luas bukan bermaksud mengeluarkan pinjaman sewenang-wenangnya, namun melalui penetapan kaedah bersesuaian berdasar kemampuan PKS. Kita yakin dengan suntikan modal melalui bantuan pembiayaan bersesuaian, potensi bisnes PKS mampu melebar jauh, termasuk pasaran antarabangsa.

100 dibaca
Berita Harian X