Sabtu, 10 Ogos 2019 | 11:00am

Kaji semula untuk penjenamaan jawatan

Banyak lagi jenis perjawatan sebenarnya boleh dijenamakan semula dan dinaik taraf bagi menarik minat pekerja tempatan, termasuk golongan siswazah sama ada di sektor swasta atau perkhidmatan awam, yang sesetengahnya sukar mendapat pekerjaan kerana saingan bagi mengisi sesuatu jawatan yang agak terhad dengan kelulusan dimiliki.

Contohnya, pemandu kepada ketua pegawai eksekutif atau menteri, boleh dijenamakan semula sebagai ‘pembantu peribadi’ dengan tugasnya diperluas, termasuk membuat penyelidikan yang diminta oleh bosnya yang sedang bermesyuarat. Semua maklumat sekarang di hujung hari dan pembantu itu mempunyai banyak masa sementara menunggu mesyuarat selesai. Jadi pemegang diploma atau ijazah am boleh mengisi jawatan ini.


Datuk Shamsuddin Bardan (kiri) bersama Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran (tengah) serta Dr Afzanizam Abdul Rashid pada Bicara BH - Pengangguran Siswazah, Dimana Silap Apa Penyelesaian, di Studio NSTP, Bangsar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Kelmarin, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan mengesyorkan sektor pekerjaan khususnya dalam kategori 3D (kotor, sukar dan berbahaya) yang selama ini banyak dikuasai tenaga kerja asing, perlu diberi suntikan penjenamaan semula agar mampu menarik minat pekerja tempatan, termasuk siswazah.

Kita juga tertarik dengan kenyataan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran pada program sama, iaitu ‘Pengangguran Siswazah: Di Mana Silap, Apa Penyelesaian’ apabila menyebut siswazah perlu ada kelebihan lain dalam bentuk sijil melalui kursus pendek seperti kemahiran teknikal tertentu untuk memberi kelebihan apabila mencari pekerjaan. Semua ini perlu bagi mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dan pihak berkuasa perlu melihat sudut penjenamaan semula ini secara serius.

Jadikan Asia ‘Harimau dunia’

Kita bersetuju dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin yang yakin Asia mampu melakar kejutan untuk menawan ekonomi global sekiranya setiap negara serantau mengambil sikap berlapang dada untuk mengetepikan pertikaian lampau.

Sebenarnya, negara Asia boleh bergabung tenaga untuk membentuk satu kesatuan seperti Kesatuan Eropah (EU) dan pastinya dagangan antara Asia itu sendiri sudah besar untuk dikongsi bersama. Namun, usaha itu belum berhasil kerana bertelingkah angkara episod lalu.

Bayangkan, jika China dan Jepun bekerjasama rapat yang bukan sahaja mampu menyaingi kemampuan ekonomi Amerika Syarikat, malah EU dan dunia sekali pun, ditambah pula dengan kerjasama ekonomi dari negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia dan Indonesia.

Begitu juga pada peringkat ASEAN dengan jumlah penduduk 460 juta, sudah pasti membawa manfaat besar dan boleh menjadi rakan dagangan terbesar bagi mana-mana negara Eropah atau Amerika Syarikat. Jika semua negara di Asia boleh melupakan sengketa lampau, maka ekonomi dunia boleh dikuasai ‘Harimau Asia’.

115 dibaca
Berita Harian X