Isnin, 22 Julai 2019 | 11:00am

Elak dihantui kos tinggi jagaan anak

Acap kali sudah isu berkaitan penjagaan dan pendidikan awal anak dibincangkan. Banyak juga cadangan, malah inisiatif diambil termasuk menggalakkan penyediaan taman didikan kanak-kanak (Tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (Taska) di tempat kerja. Semuanya untuk memudahkan ibu bapa berkerjaya dalam soal ini.

Namun, hari ini, kos tinggi untuk bayaran pengasuh masih lagi menghantui pasangan berkerjaya. Menyedihkan apabila soal kewangan keluarga gagal diuruskan sempurna, yang turut didorong beban kos tinggi bayaran asuhan anak seperti didedahkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui kes diterima. Justeru, kita percaya struktur industri penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak di negara ini perlu dikaji secara terperinci, agar beban tanggungan dapat dikurangkan.

GAMBAR hiasan/Rosela Ismail

Cabaran besar dalam hal ini ialah jika kos untuk jagaan diturunkan, bagaimana pula soal kualiti servis yang disediakan. Kita tidak mahu hanya kerana mengejar bayaran murah, penjagaan dan pendidikan awal anak akhirnya terabai, lantas masalah lain pula bakal mengundang. Kes seperti dera, cabul, rogol atau maut ketika dalam jagaan pengasuh banyak sudah dilapor media.

Kita percaya ada alternatif kepada permasalahan ini boleh dipertimbangkan. Mungkin boleh ditubuhkan koperasi pada peringkat komuniti tertentu untuk menawarkan servis penjagaan pada harga berpatutan. Apa yang kita tidak mahu, ada ibu atau bapa sanggup ‘memperjudi’ nyawa anak dengan menyerahkan jagaannya kepada pengasuh tidak bertauliah hanya kerana bayaran lebih murah. Ini harus dielak.

Terima kasih Pelli

Pemergian Cesar Pelli, arkitek terkemuka Argentina yang bertanggungjawab menghasilkan reka cipta ikonik, Menara Berkembar Petronas di Malaysia dianggap suatu kehilangan besar. Reka cipta Pelli itu membantu mengharumkan nama Malaysia dan Kuala Lumpur di seluruh dunia.

Kehilangan arkitek berusia 92 tahun itu nyata diratapi apabila banyak akhbar utama di seluruh dunia hari ini melaporkan mengenai pemergian mendiang. Kebanyakannya memaparkan gambar menara berkembar yang pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia itu, sebagai contoh terbaik ciptaan Pelli.

Walaupun tidak lagi memegang takhta bangunan tertinggi Kuala Lumpur apatah lagi dunia, Menara Berkembar Petronas yang siap dibina pada 1998 tetap dikagumi dengan reka bentuknya yang cukup unik. Tidak hairanlah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri memberi penghargaan kepada mendiang semalam.

Yang pasti, sumbangan Pelli cukup besar dan amat bermakna sekali kepada dunia seni bina secara amnya dan Malaysia serta Kuala Lumpur secara khusus. Terima kasih Pelli atas sumbangan besar buat Malaysia, pastinya nama anda akan sentiasa terpahat selagi keutuhan dan keunikan seni bina Menara Berkembar Petronas berketinggian 453 meter itu megah terpacak.

Berita Harian X