Khamis, 18 Julai 2019 | 11:00am

Anak muda tentukan hala tuju negara

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk menurunkan umur layak mengundi dan menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun yang diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga, kelmarin dijangka memberi kesan kepada hitungan politik negara.

Bayangkan jumlah pengundi dijangka meningkat kepada kira-kira 22.7 juta menjelang 2023, iaitu peningkatan lebih 50 peratus berbanding 14.9 juta direkodkan dalam daftar pemilih Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Ini sekali gus membuka ruang bagi orang muda terbabit dalam mencorak kepemimpinan negara. Kebanyakan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri berdepan dengan perubahan demografi baik dari segi umur pengundi mahupun pecahan kaum. Untung rugi parti politik sudah semestinya dicongak kembali.


- Gambar hiasan

Kita anggap perkembangan terbaru itu ada buruk dan baiknya. Buruknya kumpulan baru pengundi itu rata-rata darah muda dan mungkin membuat pemilihan mengikut emosi serta tidak memikirkan jangka panjang. Baiknya, ia menyuburkan demokrasi di negara ini. Bagaimanapun kita berharap perkembangan terbaru itu tidak menyimpang anak muda ini daripada pembelajaran mereka.

Ini juga bermakna pihak berwajib seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Pendidikan harus memainkan peranan memberi kesedaran mengenai proses demokrasi seawal peringkat sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.

SPR pula sudah tentu berdepan cabaran getir, terutama dari segi pendaftaran, sama ada mahu mengikut alamat dalam kad pengenalan atau tempat tinggal biasa seperti berdasarkan bil utiliti, yang menjadi antara punca kegagalan pemilih mengundi sebelum ini.

Latihan intensif bahasa Inggeris

Kita menyokong teguran Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap syarikat swasta dan korporat supaya tidak mendiskriminasi siswazah daripada keluarga B40 yang memohon pekerjaan hanya kerana kelemahan penguasaan bahasa Inggeris.

Kita tidak boleh terima alasan tak menguasai bahasa Inggeris menjadi halangan mengambil pekerja. Hakikatnya, pihak industri atau majikan boleh menyediakan kursus bahasa Inggeris selepas pengambilan pekerja yang lemah dalam bahasa Inggeris itu.

Pihak syarikat dan korporat perlu ada tanggungjawab sosial untuk turut membantu keluarga B40 ini. Bantu ribuan siswazah menganggur dan bukan menyerahkan kepada kerajaan semata-mata untuk mencari jalan membela golongan terbabit.

Kita akui, sebahagian siswazah lemah dalam bahasa Inggeris dan tidak salah untuk syarikat korporat mengadakan kursus intensif kemahiran menulis dan berinteraksi dalam bahasa Inggeris, seminggu dua kepada mereka ini.

Kepada siswazah pula, mereka perlu mempersiapkan diri untuk belajar sendiri jika mereka rasa lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris supaya tidak menjadi halangan apabila memohon pekerjaan.

Berita Harian X