Rabu, 17 Julai 2019 | 11:00am

Imigresen perlu tukar sistem 20 tahun

Tindakan sewajarnya harus dikenakan kepada mereka yang terbabit dalam sindiket menipu kuota dan levi pekerja asing seperti didedahkan melalui Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 kelmarin. Manipulasi dan penipuan itu dilaporkan berlaku dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi meluluskan kuota pekerja asing sehingga menyebabkan kehilangan hasil kepada negara. Sistem ini harus dikaji semula agar kaedah semakan dapat dilakukan bagi menghindar penipuan pada masa akan datang. Apa yang berlaku itu perlu siasatan segera bukan sahaja untuk mengenal pasti apa yang sebenarnya berlaku - penipuan manusia atau masalah sistem.

Jika ia membabitkan penipuan manusia, tindakan perlu diambil, manakala jika sistem itu lemah serta terdedah kepada sebarang penipuan, maka ia perlu diperbaiki segera. Namun, sistem baharu perlu diwujudkan supaya lebih komprehensif, cekap, mesra pengguna dan mempunyai nilai untuk wang serta menjimatkan dana kerajaan. Pada Disember tahun lalu, Kabinet sudah bersetuju membatalkan pelaksanaan projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bernilai RM3.5 bilion dan akan digantikan dengan sistem perkhidmatan imigresen atas talian sepenuhnya, yang kita harap boleh membantu masalah manipulasi dan penipuan itu.


Pekerja asing. - Gambar hiasan

Ketika itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata bahawa kerajaan juga bersetuju cadangan Kementerian Dalam Negeri membangunkan Sistem Imigresen Bersepadu yang menggantikan MyIMMs dan sistem ‘patch on’ lain yang diguna pakai imigresen ketika ini. Sudah tiba masa sistem MyIMMs yang digunakan lebih 20 tahun lalu itu, ditukar dan mana-mana syarikat diberi tugas membangunkan sistem baharu perlu melalui tender terbuka bagi menjamin ketelusan. Atau ia boleh dikendali Jabatan Imigresen sendiri.

KL, Jakarta perlu senada isu sawit

Kita mengalu-alukan langkah Malaysia mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada November ini untuk mencabar larangan penggunaan bahan api berasaskan minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU). Sejak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa, janji pertama yang dibuat Perdana Menteri ialah mendaulatkan undang-undang. Prinsip ini bukan dituntut untuk diguna pakai di dalam negara sahaja tetapi juga dalam hubungan antarabangsa.

Kita lihat apabila kedaulatan undang-undang diketepikan oleh Amerika Syarikat (AS) dalam perang dagangnya dengan China, ia menjejaskan ekonomi seluruh dunia. AS seharusnya membawa aduannya terhadap China kepada WTO bukan bertindak bersendirian atau ‘unilateral’ dengan mengenakan tarif. Begitu juga dengan EU dalam kes sawit. Ia harus menggunakan WTO untuk menyelesaikan sebarang aduannya terhadap pengeluar bukan mengenakan sekatan secara ‘unilateral’. Dalam hal ini, Malaysia perlu juga bekerjasama dengan Indonesia, dua negara pengeluar sawit terbesar dunia, bagaimana dua negara ini boleh mengekang tindakan EU itu.

Diharap Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit yang akan mengadakan mesyuarat peringkat menteri dengan Indonesia untuk membincangkan isu itu, dapat tampil dengan satu suara dalam isu ini. Diharap Indonesia senada dengan Malaysia.

522 dibaca
Berita Harian X